WhatsApp, Facebook antara punca kes cerai di Terengganu

Ridzuan (tengah) bersama peserta Kursus PraPerkahwinan Islam Modul Bersepadu 2019 selepas majlis penutup.
Ridzuan (tengah) bersama peserta Kursus PraPerkahwinan Islam Modul Bersepadu 2019 selepas majlis penutup.
A
A
A

KUALA NERUS - Leka berWhatsApp dan salah guna aplikasi di media sosial seperti Facebook menjadi antara antara faktor penyumbang kepada kadar perceraian dan kerosakan rumahtangga di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, media sosial itu dikenalpasti antara penyebab berlakunya kecurangan pasangan.

"Facebook umpamanya dapat mempertemukan kembali rakan-rakan lama semasa persekolahan termasuk bekas kekasih.

“Pada peringkat awal pertemuan, hanya bertanya khabar sahaja, tetapi lama kelamaan menyegarkan semula kenangan lama.

“Akhirnya wujud keretakan dalam rumahtangga akibat kehadiran orang ketiga, dan sebahagiannya berakhir dengan perceraian,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading itu.

Ridzuan berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus PraPerkahwinan Islam Modul Bersepadu 2019 diadakan di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Kubang Jela, di sini.

Beliau turut berkongsi data Mahkamah Syariah Terengganu pada tiga bulan pertama tahun ini yang mencatat 1,311 kes permohonan cerai berbanding 1,100 dalam tempoh sama tahun 2018.

Katanya, sepanjang tahun lepas juga, sebanyak 13,000 perkahwinan direkodkan dan daripada jumlah itu, satu daripada tiga kes berakhir dengan perceraian ataupun sebanyak 12 kes perceraian sehari.

Artikel Berkaitan:

“Kerana itu, kita hendaklah membina keluarga atas dasar agama, dengan kefahaman yang jelas berkaitan segala hukum hakam dalam hal ehwal kekeluargaan, bukannya dengan sebab nafsu semata-mata.

“Jika memilih kecantikan, maka ianya suatu yang tidak kekal. Begitu juga dengan harta, ianya tidak akan berkesudahan,” katanya.