Peniaga bantah pindah ke Taman Desa Bidara

Mohamad Sofee (empat dari kiri) menerima memorandum daripada Mazlan.
Mohamad Sofee (empat dari kiri) menerima memorandum daripada Mazlan.
A
A
A

KUALA KETIL - Peniaga pasar malam Ahad dan Selasa berkumpul secara aman semalam bagi menyuarakan bantahan selepas diarahkan Majlis Daerah Baling (MDB) untuk berpindah dari tapak stesen bas lama ke Taman Desa Bidara.

Ia berikutan tapak pasar malam berkenaan akan dimajukan syarikat swasta iaitu pihak sama yang membangunkan Kuala Ketil Commersial Centre (KKCC) tidak jauh dari situ.

Wakil peniaga, Mazlan Ahmad, 39, berkata, terdapat lebih 70 peniaga berniaga di tapak pasar malam Stesen Bas Kuala Ketil.

"Kami menerima surat pemindahan tapak pasar malam daripada Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Negeri Kedah pada 9 Julai lalu. Sebagai ganti, peniaga akan ditempatkan di tapak Taman Desa Bidara

"Keputusan ini tidak dipersetujui atas beberapa faktor antaranya ia akan menyebabkan pasar malam di Taman Desa Bidara menjadi tiga kali seminggu," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, penduduk Taman Desa Bidara juga tidak bersetuju dengan pembukaan pasar malam tiga kali seminggu di kawasan mereka.

Mazlan berkata, alasan lain mereka tidak mahu berpindah ke Taman Desa Bidara kerana mahu mengelakkan pertindihan dan perebutan tapak serta lambakan peniaga pasar malam.

"Berpindah ke sana menyebabkan peniaga lebih ramai daripada pembeli memandangkan tapak pasar malam Taman Desa Bidara jauh dari jalan utama.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan pembeli terdiri daripada penduduk sekitar saja. Orang luar dan pengguna jalan raya utama tidak nampak wujudnya pasar malam," katanya.

Mazlan berkata, kawasan pasar malam Taman Desa Bidara juga tidak mempunyai kawasan parkir luas selain sering berlaku kemalangan berikutan menjadi laluan pintas kenderaan berat ke kawasan industri.

"Kami mempunyai lokasi cadangan iaitu di belakang stesen bas baharu di KKCC memandangkan satu lagi lokasi berpotensi iaitu di tapak pasar Sabtu tidak mendapat kebenaran MDB," katanya.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, peniaga mempunyai banyak tanggungan hutang dan keputusan memindahkan ke kawasan tidak strategik akan menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang lagi peniaga, Mohd Sabri Omar, 46 berkata, dia berharap dapat berniaga di belakang stesen bas baharu di KKCC kerana kawasannya luas dan mempunyai kemudahan kawasan parkir.

"Kawasan itu juga jauh dari kediaman penduduk dan secara tak langsung mempromosikan bangunan dan perniagaan sekitar KKCC.

"Selepas ini wakil peniaga akan berusaha mengatur pertemuan dengan KKCC bagi mencari solusi terbaik," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Sofee Razak berkata, pihak peniaga disaran bertemu KKCC bagi berbincang dan mendapatkan pandangan terlebih dahulu.

"Kita juga akan membawa perkara in ke peringkat MDB," katanya.

Terdahulu, sebahagian daripada lebih 70 peniaga menyerahkan memorandum kepada Mohd Sofee di tapak pasar malam yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria.

Bantahan di tapak pasar malam di stesen bas lama itu berlangsung kira-kira setengah jam bermula jam enam petang.