Desak papan tanda tulisan Cina diturunkan

Paparan papan tanda yang tular di Facebook.
Paparan papan tanda yang tular di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Isu penggunaan papan tanda bertulisan Cina yang mencetuskan polemik semalam, menerima pelbagai komentar daripada netizen.

Pemerhatian Sinar Harian mendapati majoriti netizen mahukan agar papan tanda itu diturunkan bagi menghormati bahasa Kebangsaan.

Menurut Hasim Ridzuan, dalam isu ini, perkara asasnya adalah menghormati bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

"Inikan Malaysia dan bahasa rasminya adalah bahasa Malaysia, bila ianya untuk awam,mesti lah bahasa Malaysia," katanya menerusi komentar isu berkenaan di Facebook Sinar Harian.

Sementara itu menurut Mohd Nazri pula, sebagai negara yang mengamalkan hidup bertoleransi, papan tanda ini perlu diturunkan bagi menghentikan segera polemik isu ini.

"Kita kenalah hidup bertoleransi dengan bertolak ansur. Saling memahami dan bantu membantu menghormati sesama kaum. Dengan itu silalah turunkan papan tanda tu sebagai tanda toleransi," katanya.

Manakala menurut Yi Ying pula berkata, " Tulisan jawi sepatutnya digunakan, zaman Tunku Abdul Rahman, bangsa asing pandai baca Jawi," jelasnya.

Dalam pada itu menurut, Mohd Pauzi Abdul Hamid pula berkata, "Kalau rakyat Malaysia, tak yah letak tulisan Cina, Tamil, Mesti semua akan faham bahasa kebangsaan,".

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pertikai papan tanda tulisan Cina]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa tukar tulisan jawi di papan tanda jalan?]

Menjawab isu ini semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memaklumkan papan tanda dwibahasa dibenarkan di Kampung Baru Cina dan Kampung Baru Melayu.

Menurutnya, penggunaan tulisan Cina selain bahasa kebangsaan di papan tanda beberapa kampung baru Cina sudah wujud sejak beberapa tahun lalu dan beliau hairan mengapa ia tiba-tiba menjadi isu ketika ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Elok tutup saja DBP']

Terdahulu, aktivis masyarakat, Datuk Mohd Razlan Rafii mempersoalkan sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah tidak mempunyai kuasa dalam proses kelulusan penggunaan bahasa di papan tanda.

Merujuk kepada papan tanda tertera tulisan Cina yang dinaikkkan di sekitar kawasan Shah Alam, Razlan berkata, sekiranya DBP sudah tidak mempunyai kuasa atau kuasa sedia ada ditarik, lebih elok institusi tersebut ditutup daripada membazirkan wang rakyat.