Papan tanda jalan nama pengasas DAP disimbah cat merah

Papan tanda jalan Dr Chen Man Hin disimbah cat merah - Gambar tular media sosial
Papan tanda jalan Dr Chen Man Hin disimbah cat merah - Gambar tular media sosial
A
A
A

SEREMBAN - Papan tanda jalan kontroversi iaitu Jalan Dr Chen Man Hin di sini menjadi mangsa vandalisme apabila disimbah dengan cat merah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 8 pagi.

"Terdapat tiga papan tanda jalan ini yang dipasang di kawasan sekitar dan dua daripadanya telah disimbah cat merah.

"Bagaimanapun dua papan tanda itu telah pun dibuka oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, beliau tidak pasti siapa yang melakukan perbuatan itu dan tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi ia perbuatan tidak sepatutnya.

Papan tanda jalan Dr Chen Man Hin disimbah cat merah. - Gambar tular media sosial
Papan tanda jalan Dr Chen Man Hin disimbah cat merah. - Gambar tular media sosial

Tambahnya, keadaan itu juga boleh menganggu ketenteraman masyarakat di kawasan itu.

"Apa tujuan utama si pelaku merosakkan papan tanda jalan ini dengan menyimbahnya dengan cat merah?

"Saya juga tak mahu kaitkan ia dengan tujuan politik tetapi ia sangat mengecewakan dan DAP Negeri Sembilan yang diwakili Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung negeri, Teo Kok Seong telah pun buat laporan polis,"katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan negeri Sembilan menukar nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, bekas Ahli Parlimen Seremban, sebagai tanda penghormatan kepada jasa mendiang.

Bagaimanapun pemilihan nama tokoh tersebut menjadi kontroversi disebabkan mendiang merupakan pengasas DAP.

Malah ia turut mendapat bantahan daripada Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan yang menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar.