Dua lelaki ditahan proses air ketum belakang rumah

Azman (tiga dari kiri) dan Fairus (dua dari kiri) bersama hasil rampasan ketum terbesar di Jerantut.
Azman (tiga dari kiri) dan Fairus (dua dari kiri) bersama hasil rampasan ketum terbesar di Jerantut.
A
A
A

JERANTUT - Dua lelaki ditahan kerana terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar air ketum di sebuah rumah di Felda Kota Gelanggi di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira 2.30 pagi itu, polis turut merampas 88 bungkus air ketum seberat 67.821 liter dan beberapa peralatan dengan nilai keseluruhan RM970.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis berkata, kedua-dua suspek menjalankan aktiviti itu sejak lima bulan lalu untuk pasaran Felda berkenaan dan Kuala Tahan yang dijual dengan harga RM10 sebungkus.

"Penahanan kedua-dua suspek ini hasil risikan pihak polis dan serbuan dilakukan menerusi Op Sarang oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Pemeriksaan mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya pada sidang akhbar di IPD Jerantut di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah, Asisten Superintendan Fairus Azma Fauzi.

Menurutnya, seramai 29 lelaki berusia 25 hingga 48 tahun ditahan di Kuala Tahan, Felda Kota Gelanggi, Felda Sungai Tekam dan Felda Padang Piol.

"Kita berjaya merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 24.70 gram, syabu 26.06 gram, ganja 16.2 gram dan air ketum terbabit dengan nilai keseluruhan RM7,620.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek ditahan bagi siasatan lanjut," katanya.