'Saya ibarat kedai serbaneka bergerak'

Mohd Hasyir bersama pelanggan yang mendapatkan khidmat pembayaran bil utiliti dan kad tambah nilai di hadapan masjid negeri.
Mohd Hasyir bersama pelanggan yang mendapatkan khidmat pembayaran bil utiliti dan kad tambah nilai di hadapan masjid negeri.
A
A
A

KUANTAN - Tubuhnya kecil sahaja. Sambil memakai serban, dia berjalan sekitar bandar ini dengan leher digantung sekeping kadbod lantas menarik perhatian orang ramai.

Kadbod itu tertera tulisan: 'Topup Bergerak Kuantan' dan caj perkhidmatan sebanyak 50 sen.

Ada mata memandang gerak lakunya penuh sinis, tidak kurang juga yang menanyakan pelbagai soalan.

Namun apa pun pandangan masyarakat, Mohd Hasyir Md Yusof, 30, tidak pernah peduli dengan semua itu kerana baginya, rezeki adalah kurniaan ALLAH SWT.

Menurut Mohd Hasyir, dia langsung tidak berasa malu melakukan pekerjaan ini, malah bersyukur dan gembira kerana sedikit sebanyak dia memudahkan urusan orang ramai yang mahu mendapatkan kad tambah nilai dan membuat pembayaran bil utiliti.

“Malu itu saya buang ke tepi sebab rezeki ALLAH bagi, tapi saya kena berusaha.

“Jadi, saya pun jalankan perkhidmatan sebegini kerana ini saja yang saya mampu buat untuk tampung kehidupan. Sebelum ni saya banyak bertukar kerja akibat penyakit sawan yang dialami sejak kecil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di hadapan masjid negeri, hari ini.

Dia yang tinggal di Bukit Ubi berkata, penyakit sawan yang menyerang tidak kira masa menyebabkan sukar untuk dirinya kekal dengan satu pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, disebabkan itu dia merasakan kerja makan gaji tidak sesuai untuk dirinya apabila banyak menyusahkan majikan dan mahu bekerja sendiri.

Mohd Hasyir berkata, dia kemudian memula menjual kad tambah nilai secara bergerak Ramadan tahun lalu dan ketika itu hanya menumpukan di sekitar bazar Ramadan Jalan Mahkota, di sini.

Mohd Hasyir
Mohd Hasyir

“Masa itu pelanggan saya adalah peniaga gerai di bazar tersebut dan mereka suka dengan khidmat bergerak sebegini sebab mudahkan urusan.

“Lepas itu saya ambil keputusan untuk meneruskan aktiviti penjualan kad tambah nilai itu secara bergerak ini,” katanya.

Ceritanya lagi, dia menggunakan telefon bimbit untuk membuat tempahan kad tambah nilai yang dikehendaki pelanggan dan nombor kad berkenaan akan keluar menerusi alat khas yang dipakai di pinggangnya.

“Saya ini boleh diibaratkan sebagai kedai serbaneka bergerak. Saya cakap macam itu sebab orang ramai bukan boleh beli kad tambah nilai saja, tapi bayar bil utiliti tertentu, semuanya di hujung jari.

“Justeru ramai yang yang anggap kehadiran saya memudahkan mereka," katanya.

Dia mengakui mampu meraih keuntungan sekitar RM600 sebulan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan itu.

Selain itu, Mohd Hasyir berkata, untuk berjaya bukan sesuatu yang mudah dan perlu berusaha gigih.

“Jika dulu saya terpaksa bertungkus-lumus bagi memperolehi pelanggan, kini saya sudah dikenali dan kadang kala pelanggan menghubungi saya untuk dapatkan perkhidmatan,” katanya.