PGA rampas barangan seludup RM1.8 juta

Ab Aziz (kanan) menunjukkan gambar barangan yang dirampas pada sidang media di Markas Taktikal Batalion 8 PGA Lubok Setol, Rantau Panjang hari ini.
Ab Aziz (kanan) menunjukkan gambar barangan yang dirampas pada sidang media di Markas Taktikal Batalion 8 PGA Lubok Setol, Rantau Panjang hari ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas pelbagai barangan seludup berjumlah RM1.8 juta sepanjang tempoh dua minggu menerusi Op Wawasan bermula 13 Julai lalu.

Penolong Pegawai Pemerintah, Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embun berkata, kayu gaharu menjadi penyumbang terbesar kepada nilai rampasan tersebut membabitkan jumlah RM1.3 juta.

"Selebihnya membabitkan rokok, beras dan pelbagai jenis dadah antaranya pil erimin 5, ubat batuk dan daun ketum," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Batalion 8 PGA Lubok Setol, Rantau Panjang di sini hari ini.

Ab Aziz berkata, kesemua barangan terbabit dirampas dalam serbuan di beberapa pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang antaranya pangkalan haram Hassam Merah dan Kampung Gual Sitok.

Menurutnya, pasukan itu turut melakukan serbuan di Kampung Gong Dayak Tok Uban, Pasir Mas dan merampas barangan seludup dalam operasi sekat pintas Kubang Pak Hitam Meranti di Pasir Mas.

"Kejayaan ini membangkitkan lagi semangat PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa untuk terus bekerja keras dalam usaha mengekang jenayah lintas sempadan.

"Kita berharap orang ramai dapat terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyeludupan," katanya.

Op Wawasan PGA bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga pekan Rantau Panjang membabitkan jarak sejauh 32 kilometer.

Artikel Berkaitan: