Larikan diri tinggal rokok seludup RM1.5 juta

Polis menemui kotak yang disyaki terdapat rokok seludup dalam serbuan di sebuah jeti nelayan di Tumpat Ahad lalu.
Polis menemui kotak yang disyaki terdapat rokok seludup dalam serbuan di sebuah jeti nelayan di Tumpat Ahad lalu.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga merampas rokok yang dipercayai diseludup dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta dalam serbuan di sebuah jeti nelayan di Tumpat Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bagaimanapun ketika serbuan Op Kontraban kira-kira jam 5.50 pagi itu, suspek melarikan diri selepas menyedari lokasi itu diserbu.

"Pemeriksaan sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Risikan Marin Pengkalan Kubor dan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat ke atas sebuah lori di lokasi menemui sejumlah kotak disyaki mengandungi rokok putih yang tiada cukai kastam.

"Rokok berkenaan juga disyaki diseludup masuk dari negara jiran," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori bernilai kira-kira RM1.6 juta dan dihantar ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

"Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam," katanya.