Berdakwah dengan bijaksana

A
A
A

USLUB dakwah bermaksud metodologi berdakwah dengan menggunakan pelbagai pendekatan dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam. Islam ialah agama yang sempurna sebagai suatu cara hidup yang selaras dengan fitrah manusia.

ALLAH SWT menurunkan agama Islam kepada Nabi Muhammad SAW untuk Baginda menyampaikannya pula kepada seluruh umat manusia.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan al-hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk.” (surah al-Nahl, ayat 125)

Bertutur

Bagi mereka yang hebat bertutur dan berbicara, mereka boleh memberi peringatan melalui ceramah atau majlis ilmu. Nasihat dapat diberikan secara individu mahupun berkumpulan bagi menimbulkan kesedaran dan keinsafan di dalam hati anak Adam agar kembali kepada Islam.

Sudah tentu, ALLAH yang Maha Kaya menjadikan seluruh ciptaan-Nya dengan kepelbagaian setiap satu adalah unik. Ada yang dikurniakan kemahiran dalam penulisan. Golongan ini boleh memberi kata-kata nasihat dalam bentuk penulisan dalam menyampaikan kebaikan Islam.

Jika tidak mahir dalam berceramah atau menulis sekalipun, kita masih boleh menggunakan pendekatan dakwah bil hal iaitu dakwah melalui akhlak yang mulia. Ia penting kerana setiap tindakan kita sebagai orang Islam dilihat dan dinilai oleh masyarakat bukan Islam.

Walau apa pun uslub yang digunakan, yang pasti pendekatan lembut dan penuh kasih sayang sebagaimana yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew adalah lebih baik.

Hari ini, terdapat pendakwah yang menyindir atau menyampaikan dakwah sentap kononnya ia adalah salah satu pendekatan dalam berdakwah.

Artikel Berkaitan:

Saya kagum dengan penceramah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad. Apabila dipanggil dai atau ustaz dai, beliau mengatakan malu untuk menyandang gelaran itu. Menurut beliau, dai ialah mereka yang membawa manusia dari 'jalan syaitan' menuju ke jalan ALLAH dan dari jalan kemungkaran kepada masjid.

Abdul Somad berkata, seorang dai bukanlah individu yang mahu dikenali di muka bumi ini tetapi ikhlas melaksanakan tuntutan dan kewajipan kepada ALLAH.

Kata Abdul Somad, ada sebilangan pendakwah yang masyhur semasa hayatnya di muka bumi ini, malangnya malaikat tidak pernah mengenal dirinya, malah tidak pernah dicatat oleh malaikat akan amalannya.

Jelasnya, semua itu terjadi kerana terdetik perasaan riak dan takbur dalam diri si pelaku semasa melaksanakan amalan baik dan mengharapkan pembalasan.

Tetapi ada juga sebilangan insan di dunia ini yang bukan siapa-siapa, malah ada yang diremehkan oleh masyarakat serta diperlekehkan, namun setiap hari malaikat membawa catatan amalnya kepada ALLAH.

Mereka ini pendakwah senyap yang sentiasa melakukan dakwah tanpa mengharapkan balasan mahupun pujian manusia. Mereka hanya mengharapkan reda ALLAH SWT.

Pendakwah seharusnya menggunakan kata-kata yang baik, berakhlak mulia, merendah diri, tenang dan penuh kasih sayang.

Pendakwah tidak seharusnya meninggikan suara atau marah mahupun menghina.

Malah, seorang pendakwah perlu lebih berhati-hati, menggunakan kata-kata yang bersesuaian dengan kedudukannya yang tinggi agar tidak menyinggung atau menimbulkan ketidakselesaan kepada yang mendengar.

Kesimpulannya, dakwah yang bijaksana ialah pendekatan dakwah yang holistik, mampu menarik perhatian dan menyampaikan mesej kepada golongan sasaran dengan berkesan.

Moga kita semua dapat menggunakan apa jua yang ALLAH kurniakan untuk melaksanakan dakwah dengan bijaksana.