Masih ada orang yang baik

A
A
A

SETIAP hari ada sahaja berita tentang orang yang tak baik. Macam-macam cerita juga tentang kelakuan manusia ini. Walaupun ada cerita baik-baik tetapi cerita yang tak baik ini agak menonjol pula. Kadang-kadang memberi resah kepada rakyat jelata juga.

Setiap hari, ada sahaja cerita tentang rompakan, cerita makan rasuah, cerita tikam bini, cerita songlap duit, cerita persendakan agama dan bermacam-macam cerita lagi. Semua cerita itu banyak terpapar di dada akhbar, televisyen dan di media sosial.

Bila membacanya, kita tertanya-tanya pula apa sudah jadi dengan manusia ini. Sudah tidak ada pertimbangan dalam berfikir ke? Sehingga sudah tidak boleh memilih ke yang mana perlakuan baik dan jahat.

Mungkin sekali lagi kajian holistik perlu dilakukan. Contohnya apa yang menyebabkan terjadinya perlakuan jahat ini?

Perbuatan-perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang juga. Daripada orang-orang kecil sehinggalah kepada orang-orang besar pula. Daripada orang-orang yang tidak ada kuasa kepada yang ada kuasa juga. Semuanya ada.

Namun begitu kita tidak boleh berputus asa juga untuk mengharapkan kepada orang yang baik. Memang masih ramai orang-orang yang baik yang sentiasa ingat pada tuhan sebelum melakukan sesuatu perkara jahat. Itulah harapan kita terutama kepada anak-anak yang sedang membesar.

Baru-baru ini, berlaku suatu kejadian di sebuah tol plaza tempat saya bekerja. Ibarat kata peribahasa Melayu, bayan di tangan habis terlepas. Tidak pasti pula kenapa orang tua bijaksana dahulu kala menggunakan bayan sebagai perumpamaan. Kasihan juga kepada pekerja tol itu tetapi ada nasib baiknya pula.

Pekerja tol itu telah tersalah menambah nilai seorang pengguna lebuh raya yang telah menghulurkan duit RM10 untuk kad Touch’ n Go.

Artikel Berkaitan:

Tetapi entah bagaimana pekerja tol itu tersilap menambah nilai kepada RM100 pula. Untung besarlah pengguna tersebut. Bak kata peribahasa Melayu lama, sirih naik, junjungan naik pula.

Maka kecohlah di tol plaza tersebut akan nasib malang menimpa pekerja tol itu. Meraung-raunglah pekerja tersebut kerana terpaksa menggantikan duit sebanyak RM90 pula kepada syarikat konsesi.

Bayangkanlah jika pekerja itu hanya ada duit RM90 sahaja untuk perbelanjaan bulan ini sebelum mendapat gaji. Tak tahulah bagaimana perasaannya. Hanya duit itu sahaja yang tinggal untuk makan dan minum serta minyak motor tiba-tiba hilang begitu sahaja.

Pulangkan

Tidak berapa lama pula, datanglah seorang lelaki ke pejabat pentadbiran tol. Lelaki itu terus ke kaunter untuk bertanya: “Encik tadi saya top up Touch ‘n Go RM10 sahaja. Entah macam mana tengok baki dalam kad ada banyak pula. Ada RM100. Bolehkah saya nak pulangkan semula.”

Penjaga kaunter bertanya: “Encik top up di mana?”

Lalu lelaki itu memberitahu lokasi tempat dia menambah nilai itu.

"Oh ok. Baik encik ya. Saya telefon penyelia di sana dahulu, ” kata penjaga kaunter.Maka ketika menelefon kepada penyelia, maka penyelia memberitahu kejadian yang berlaku disebabkan kesilapan pekerja tersebut.

Penyelia di tol plaza itu memberitahu: “Ha betul lah tu. Budak ini dah teriak-teriak kata tersalah top up.”Pemuda tersebut apabila diberitahu keadaan pekerja tol itu berteriak-teriak menangis, terus berkata pula: “Oh ALLAH kasihannya. Kalau begitu, nah ambil balik duit RM90 ini saya ganti semula. Beri pada dia nanti. Kasihan sampai menangis-nangis.”

Penjaga kaunter terus berkata: “Terima kasih encik. Nasib baik encik ganti balik. Susah nak cari orang baik macam encik ini.”

Lelaki itu tersenyum sahaja dan berkata: “Oh tak apa. Dah tersilap bukan sengaja. Nak buat macam mana.”

Alhamdulillah pekerja tol itu tidak perlu menggantikan duitnya lagi. Lelaki jujur begini mungkin susah hendak dicari. Kebiasaannya tidak ada yang mahu datang semula untuk memberitahu pekerja tol tersilap menambah nilai.

Maka harapan kita untuk berharap kepada orang baik masih ada lagi dalam dunia ini. Kita hanya jangan berhenti berharap sahaja. Kerana dengan ada orang-orang yang baik ini maka amanlah dunia sejahteralah masyarakat dan negara...

Tidak kiralah siapa kita. Orang biasa-biasa ke atau orang yang ada kuasa ke harapannya hendaklah sentiasa berkelakuan baik-baik. Walaupun masih ramai orang-orang atas yang jahat berebut kuasa.

Semoga Tuhan memberi perlindungan kepada negara kita ini.