Inti pati perbicaraan kes SRC Najib minggu ini

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Mahkamah Tinggi selepas prosiding perbicaraan membabitkan dana SRC International disambung Isnin depan. Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Log perbualan dalam Blackberry Messenger (BBM ) dan e-mail antara bekas pengurus perhubungan di Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping dengan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, mendapat tumpuan utama dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd minggu ini.

Pasukan pembelaan menyelidiki perbualan antara Yu, seorang daripada saksi utama perbicaraan, dengan Jho Low antara 2011 dan 2014 yang mendedahkan pelbagai arahan daripada Jho Low berhubung pengendalian akaun bank bekas perdana menteri itu.

Mahkamah Tinggi turut diberitahu Najib memberi mandat kepada Nik Faisal Ariff Kamil, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, untuk bertindak bagi pihak dirinya, membabitkan akaun beliau dalam Ambank.

Berikut ringkasan keterangan Yu, yang merupakan saksi ke-54 pendakwaan, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hari 41 (22 Julai):

Yu, 48, memberitahu Mahkamah Tinggi tiga akaun semasa Najib mencatatkan transaksi pada jumlah yang sangat tinggi antara 2011 dan 2015, termasuk pindahan dana masuk dari luar negara dalam mata wang asing.

Beliau berkata bagi tujuan melaporkan pindahan wang masuk dari luar negara kepada Bank Negara Malaysia, beliau mendapatkan penjelasan daripada Nik Faisal berhubung tujuan pindahan dana itu diterima dan dimaklumkan bahawa dana itu adalah ‘hadiah’.

"Sebagai pengurus perhubungan, saya bekerjasama rapat dengan pelanggan korporat dan individu yang mempunyai kedudukan tinggi pada bank, lazimnya disebabkan status atau kekayaan terkumpul mereka. Najib berada dalam kategori pelanggan seperti ini dan oleh itu, kami sentiasa berhubung bagi urusan perbankan beliau.

"Bagaimanapun, disebabkan Najib memberi mandat kepada Nik Faisal untuk bertindak bagi pihak dirinya, saya biasanya berjumpa dan berurusan dengan Nik Faisal dan bukan secara terus dengan Najib," kata saksi itu semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed.

Menjelaskan lebih lanjut, Yu berkata beliau tidak mempunyai akses terus kepada akaun Najib dengan bank berkenaan, bagaimanapun sebagai pengurus perhubungan, beliau akan mempermudahkan dan memajukan apa jua permohonan yang diterima daripada Najib atau Nik Faisal sebagai pemegang mandat akaun Najib, kepada bahagian produk yang berkenaan di Ambank.

"Semua pindahan dana antara akaun semasa Najib adalah berdasarkan arahan bertulis yang diterima daripada Nik Faisal seperti yang dibenarkan dalam lingkungan mandat yang diberi kepada Nik Faisal. Seperti yang telah dinyatakan, saya membantu dengan memajukan arahan bertulis yang diterima daripada Nik Faisal kepada cawangan (bank) untuk tindakan mereka.

"Berikutan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, sungguhpun ada waktu-waktu tertentu berlaku terlebih pengeluaran daripada akaun semasa itu, pihak bank tidak akan secara automatik menolak cek yang dikeluarkan oleh Najib.

"Cawangan akan segera memberitahu saya tentang situasi terlebih pengeluaran, dan saya pula akan cepat-cepat menghubungi Nik Faisal menerusi panggilan telefon, mesej atau e-mail untuk memaklumkan beliau perkembangan terkini untuk menangani situasi terlebih pengeluaran bagi memastikan cek itu boleh ditunaikan. Bagaimanapun, terdapat waktu-waktu tertentu di mana Nik Faisal tidak dapat dihubungi,” katanya.

Saksi itu turut menarik perhatian bahawa setiap kali arahan diterima daripada Nik Faisal selaku pemegang mandat bagi akaun Najib, arahan itu diterima sebagai datangnya daripada Najib sendiri.

Yu juga berkata Jho Low telah meminta supaya akaun bank Najib dikenal pasti menerusi kod nama atas sebab kerahsiaan.

Semasa membacakan pernyataan saksinya, Yu berkata berdasarkan tugas beliau menguruskan portfolio pelanggan korporat, beliau berkata kod nama ‘AmPrivate Banking-MR’ yang digunakan bagi akaun semasa Najib adalah akaun individu pertama yang diberi kod nama itu.

"Alasan bagi kod nama itu adalah berdasarkan pertanyaan oleh Jho Low yang memohon supaya akaun itu dikenal pasti hanya berdasarkan nombor akaun yang dinyatakan itu dan bukan berdasarkan nama pemegang akaun bagi memastikan kerahsiaan.

"Saya kemudian membuat semakan dengan pihak operasi Ambank sama ada perkara ini boleh dilakukan dan saya diberitahu kod nama boleh diberi tetapi akaun itu akan tetap mengandungi identiti pemegang akaun.

"Saya tidak pasti siapakah yang menetapkan kod nama itu. Saya kemudiannya diberitahu oleh pengarah urusan kumpulan Ambank Group Cheah Tek Kuang bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia telah dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya.

Kepada soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram, saksi itu berkata Najib adalah penandatangan tunggal bagi cek yang dikeluarkan daripada akaun semasanya.

Yu juga berkata beliau tidak menerima sebarang aduan tentang cek tanpa kebenaran yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak ketiga bagi pihak Najib, dan menambah, Nik Faisal tidak boleh mengambil wang daripada akaun Najib.

Beliau memberi keterangan Najib tidak pernah bertanya kenapa akaun peribadi Ambank beliau mencatatkan terlebih pengeluaran dan pemegang mandat, Nik Faisal juga tidak pernah bertanya beliau mengenainya.

Bekas ahli bank itu yang menguruskan akaun bank Najib turut menafikan beliau berkonspirasi dengan Jho Low untuk mengheret bekas perdana menteri itu ke mahkamah.

Apabila Sithambaram bertanya kepada beliau terdapat dakwaan bahawa beliau berkonspirasi dengan Jho Low sehingga membawa kepada pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib sekarang, Yu menjawab: "Saya tidak ada konspirasi. Hanya apabila akaun itu mencatatkan terlebih pengeluaran, kami cuba maklumkan mereka (Nik Faisal dan Jho Low) kerana jika tidak, cek bagi akaun Datuk Seri (Najib) tidak laku.

Beliau juga berkata tidak ada aduan oleh pemegang akaun Datuk Seri Najib, atau Nik Faisal, bahawa akaun yang dibuka pada 2011 sehinggalah ditutup pada 2015, tidak dikendalikan selaras dengan mandat.

Yu berkata Najib atau Nik Faisal tidak menuduh beliau dan pasukannya bertindak melampaui bidang kuasa mereka dan Najib, selaku pemegang akaun, juga tidak menuduh beliau berkonspirasi dengan Jho Low untuk melakukan transaksi tanpa kebenaran atau penipuan semasa beliau menjadi pengurus perhubungan akaun Najib.

Beliau turut memberi keterangan bahawa penyata akaun semasa bank dan kad kredit Najib disimpan oleh pasukan Pengurus Perhubungan dan kemudian disampaikan menerusi serahan tangan kepada Nik Faisal di pejabat SRC di Bangsar.

Yu bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa penyata kad kredit bertarikh 8 Sept 2014 telah tersalah hantar ke Pejabat Perdana Menteri.

Ketika disoal balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Yu berkata Pengurus Perhubungan menyimpan penyata bank Najib di pejabat sebelum dihantar kepada Nik Faisal. Katanya beliau masih ingat satu insiden apabila Jho Low menegur Pengurus Perhubungan kerana mereka tidak mematuhi arahan berkaitan penyata bank itu.

Yu turut diminta supaya membacakan perbualan antara beliau dan Jho Low bertarikh 14 Okt 2014 menerusi Blackberry message (BBM) - "Ini adalah perbualan antara Jho dan saya”. Jho: Tolong jangan hantar penyata bank kepada MNR (Mohd Najib Razak), penyata itu kini ada dengan kamu, betul? Saya: Jadi kini kami diarahkan supaya penyata itu dihantar kepada kami dan kami pula menghantar menerusi serahan tangan kepada Nik Faisal untuk pelanggan berkenaan (Najib).

Beliau berkata perbualan itu berlaku selepas beliau menerima panggilan daripada Nik Faisal dan Jho Low bahawa penyata kad kredit Najib sebenarnya dihantar kepada pelanggan dan tidak dihantar kepada Pengurus Perhubungan sepertimana dimandatkan.

Yu juga memberitahu Mahkamah Tinggi lebih RM150 juta didepositkan ke dalam tiga akaun terlindung AmBank kepunyaan Najib pada 2014 dan 2015.

Menurut Yu, terdapat 20 buku cek bagi setiap akaun, kesemuanya berjumlah 80 buku cek bagi empat akaun, termasuk satu lagi akaun peribadi berakhir dengan nombor 898, kepunyaan Najib.

Hari 42 (23 Julai):

Bekas ahli bank itu memberitahu Mahkamah Tinggi beliau diminta meninggalkan bank itu pada 2015, dipercayai disebabkan pembabitannya dengan akaun bekas perdana menteri.

Yu juga berkata, pada masa itu, AmBank didenda RM53.7 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ketidakpatuhan membabitkan kegagalan untuk melaporkan transaksi meragukan.

Mahkamah sebelum itu mendengar keterangan bahawa BNM telah mendenda Ambank pada 23 Nov, 2015, berhubung kegagalannya untuk melaporkan transaksi meragukan dalam akaun Najib.

Hari 43 (24 Julai):

Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan selepas dimaklumkan bahawa peguam Harvinderjit Singh tidak sihat. Harvinderjit sepatutnya memeriksa balas Yu.

Yu memberitahu Mahkamah Tinggi, Jho Low menegaskan penyata kad kredit Najib tidak boleh dihantar ke kediaman perdana menteri ketika itu di Jalan Duta.

Yu bersetuju dengan petikan perbualan email pada 2011 antara beliau dan Jho Low, yang dibangkitkan semasa pemeriksaan balas oleh Harvinderjit.

Harvinderjit: respons Jho Low dalam email iaitu..."Tidak tidak tidak... jangan hantar penyata ke rumah Najib... teramat sensitif. Kami akan mengambilnya sendiri." Yu menjawab "Ya".

Harvinderjit: Jho Low juga berkata, "Penyata kad kredit jangan sekali-kali dihantar ke rumahnya." Yu menjawab, "Ya, mereka selalu mengambil sendiri penyata itu."

Harvinderjit: Jho Low tegaskan? Yu menjawab "Ya, dan pemegang mandat pun.”

Yu berkata Jho Low menyuruhnya supaya memadamkan log perbualan BBM itu, tetapi beliau tidak pernah berbuat demikian kerana tidak tahu caranya.

Saksi itu turut menyatakan Jho Low dan Nik Faisal memberitahunya supaya tidak mendedahkan nama Najib setiap kali terdapat dana dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau.

Terdahulu, prosiding perbicaraan itu terganggu oleh ancaman bom dan semua orang diperintahkan keluar dari mahkamah dalam insiden 12.30 tengah hari itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy, balai polis Taman Tun Dr Ismail menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali kira-kira 11 pagi yang mendakwa terdapat bom di dalam bangunan mahkamah dan hasil pemeriksaan menyeluruh di bangunan itu mendapati tiada ancaman daripada bahan letupan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin. -Bernama