Ajal nelayan ketika tangkap ketam

Mayat mangsa yang ditemui dalam bot fibernya di Sungai Pangkalan Baran, Kuala Kemaman dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Mayat mangsa yang ditemui dalam bot fibernya di Sungai Pangkalan Baran, Kuala Kemaman dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
A
A
A

KEMAMAN - Misteri kehilangan seorang nelayan yang tidak pulang ke rumah selepas keluar menahan bubu untuk menangkap ketam terungkai apabila ditemui mati dalam bot fibernya di Sungai Pangkalan Baran, Kuala Kemaman.

Mayat Ramli Muda, 60, ditemukan kira-kira jam 11.10 malam tadi oleh pasukan penyelamat selepas operasi mencari dan penyelamat mangsa dilakukan.

Operasi itu dijalankan oleh pasukan penyelamat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dengan dibantu nelayan tempatan selepas anak perempuan mangsa membuat laporan mengenai kehilangan bapanya sekitar jam 10 malam.

Sebelum kejadian, warga emas itu dihantar oleh anaknya ke Jeti Bangsal Alex Kampung Geliga Che Akob untuk turun ke sungai bagi menahan bubu ketam kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, mangsa yang tinggal di Kampung Mak Lagam, di sini, dikatakan tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah petang menyebabkan anak perempuannya menelefon mangsa berkali-kali, namun tiada jawapan sehingga jam 8 malam.

Mayat mangsa ditemui dalam bot bersama beberapa buah bubu ketam.
Mayat mangsa ditemui dalam bot bersama beberapa buah bubu ketam.

Bimbangkan keselamatan dan khuatir sesuatu perkara buruk berlaku ke atas bapanya, anak mangsa membuat laporan polis.

Gerakan mencari mangsa dilancarkan di sekitar Sungai Pengkalan Baran, Kuala Kemaman diketuai Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah.

Artikel Berkaitan:

Menurut anaknya, mangsa sebelum ini dipercayai mempunyai penyakit jantung dan pernah beberapa kali dirawat di Hospital Kemaman.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui di dalam botnya bersama beberapa buah bubu ketam serta alatan lain di tepi sungai berkenaan.

Mohd Haki yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu berkata, mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.