X

Kindly register in order to view this article
!

Belum habis cerita vape, timbul pula ghost smoke

A
A

BELUM pun masalah menghisap rokok dan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar diselesaikan, kini timbul pula isu ghost smoke.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Ia berikutan tular satu rakaman video beberapa orang pelajar sekolah rendah sedang menikmati gula-gula tersebut.

Jika gula-gula biasa, tidak mengapa. Tetapi, apa yang membimbangkan ialah cara pengambilan gula-gula tersebut seperti menghisap dan menghembus rokok.

Walaupun belum diketahui tahap kesihatan memakan gula-gula itu tetapi keupayaan mengeluarkan asap seolah-olah mengajar kanak-kanak menghisap rokok.

Ghost smoke walaupun hanya sekadar gula-gula namun ia tetap berbahaya kerana kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah yang,lebih besar iaitu penagihan dadah.

Oleh itu Merak Jalanan bersetuju dengan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi lain dalam mengambil langkah pencegahan dan kawalan.

Kita sama sekali tidak boleh biarkan gejala ini menular sehingga tidak dapat dikawal. Kita bimbang ghost smoke ini akan menambah kesan negatif kepada gejala sosial yang telah sedia wujud di negara ini dan merosakkan generasi muda kini. Ini disebabkan kanak-kanak yang menyukai jenis gula-gula tersebut lama-kelamaan akan mulai ketagih.

Memang tidak mustahil. Mula-mula ghost smoke, selepas itu rokok atau vape apabila sudah biasa dan kemudian dadah atau syabu.

Usaha memerangi ghost smoke, rokok dan vape dalam kalangan pelajar sekolah perlu dilakukan secara agresif dan tegas oleh semua pihak, bukan sekadar melepaskan tanggungjawab kepada satu pihak sahaja.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus