Janji laksana gaji minimum RM1,500 diragui?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Janji kerajaan melaksanakan gaji minimum menjelang 1 Januari 2023 diragui dari segi sejauh mana ia boleh dicapai.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah berkata, ini kerana pelaksanaan gaji minimum pertama hingga ketiga yang bakal dikuatkuasakan 1 Januari 2019 hanyalah melibatkan kenaikan purata berjumlah RM28.57 hingga RM40 setahun.

Beliau berkata, jika diandaikan begitu, ia memerlukan lebih dari 10 hingga 14 tahun untuk mencapai gaji minimum RM1,500, iaitu selepas 2030 dan bukannya pada Januari 2023 seperti dijanjikan.

Katanya, gaji minimum pertama dilaksanakan pada 1 Januari 2013 pada kadar RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan, manakala gaji minimum kedua dinaikkan kepada RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah, Sarawak serta Labuan pada 1 Julai 2016, iaitu selepas tiga tahun enam bulan.

"Kenaikannya adalah sebanyak RM100 dan RM120 dan jika dibahagi kepada tiga tahun enam bulan bermakna kenaikan sebenar hanyalah berjumlah RM28.57 setahun di Semenanjung dan RM34.28 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Gaji minumum ketiga yang terbaharu ditetapkan kepada RM1,100 di seluruh negara berkuatkuasa 1 Januari 2019 adalah selepas dua tahun enam bulan. Kenaikan RM100 dan RM180 ini sebenarnya hanyalah berjumlah RM40 setahun di Semenanjung dan RM72 di setahun Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2 November lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan gaji minimum sebanyak RM1,100 ketika membetangkan Belanjawan 2019 di Parlimen.

Untuk mencapai gaji minimum RM1,500 pada Januari 2023, Wan Noorulazhar berkata, kenaikan RM100 setahun selama empat tahun berturut-turut perlu dilaksanakan tanpa gagal, iaitu bermula 1 Januari 2020 hingga 1 Januari 2023.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan kerajaan meneliti semula Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) 2011 supaya kajian kenaikan gaji minimum dibuat setiap tahun, berbanding tempoh dua tahun ketika ini.

"Jika tidak janji hanya tinggal janji, sedangkan Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2016 menyatakan bahawa kos sara hidup bagi orang bujang di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ialah sebanyak RM2,700 sebulan pada dua tahun yang lalu.

"Sehubungan itu, kami ingin menyeru Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran memberi sedikit pencerahan selaras dengan janji dan ikrar yang telah dinyatakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Noorulazhar berkata, MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan menyokong tindakan proaktif Kementerian Sumber Manusia melindungi pekerja asing dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya tidak lagi berlaku amalan diskriminasi secara berterusan.