Mahkamah benar peguam tangguh pendengaran rayuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan oleh pemilik hartanah dan tiga penduduk di Jalan U-Thant yang gagal dalam permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Kerja Raya dan pihak lain yang meluluskan Jajaran Desa Pandan untuk projek Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan permohonan penangguhan bersama oleh peguam-peguam yang mewakili pihak terlibat dalam rayuan berkenaan.

Kes itu kemudiannya ditetapkan untuk pengurusan kes pada 1 Ogos.

Peguam Datuk S.Ambiga yang mewakili tiga penduduk berkenaan memohon penangguhan atas alasan peguam memerlukan masa untuk menyediakan hujah.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Nik Mohd Noor Nik Kar yang mewakili Menteri Kerja Raya dan kerajaan, memaklumkan mahkamah bahawa mereka mahu menyediakan balasan kepada afidavit perayu yang difailkan untuk menyokong permohonan mereka bagi menambah bukti.

Tiga penduduk berkenaan ialah Enisah Baharuddin, Joy Devi Kunanayagam dan Datuk Dr. N Kunanayagam telah memfailkan afidavit mereka pada 11 Julai lepas manakala Dharma Sdn Bhd memfailkan afidavit pada 16 Julai.

Nik Mohd Noor berkata, mereka berhasrat untuk membantah permohonan perayu untuk menambah bukti.

Penduduk berkenaan dan Dharma merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Dis 2017 yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mencabar keputusan Menteri Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kerajaan dan Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn Bhd, untuk meluluskan Jajaran Desa Pandan bagi projek SPE.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga memohon kebenaran untuk menambah bukti.

Peguam T. Balan Nair, yang mewakili Dharma berkata anak guamnya mahu menambah bukti tambahan yang merupakan 23 gambar yang berkaitan dengan keadaan semasa di tapak pembinaan.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada April 2017, penduduk dan Dharma memohon perintah certiorari untuk mencabar keputusan menteri, LLM dan Kerajaan dalam meluluskan reka bentuk dan/atau spesifikasi bagi projek SPE Jajaran Desa Pandan.

Mereka memohon perisytiharan bahawa kelulusan itu gagal mempertimbangkan dan/atau mengambil kira kesan ke atas kesihatan penduduk dan kesan sosial daripada Jajaran Desa Pandan selain gagal menimbangkan kesan buruk ke atas nilai hartanah yang dimiliki pemohon.

Pemohon juga memohon perisytiharan bahawa kelulusan itu menyalahi undang-undang, tidak rasional dan/atau tidak munasabah oleh kerana ia tidak mematuhi peraturan sertagaris panduan LLM.- Bernama