Penduduk menderita jalan berlumpur

Murid terpaksa berjalan kaki selama 20 minit dan memakai pakaian biasa ketika melalui jalan berlumpur bagi mengelak pakaian seragam sekolah kotor terkena lumpur di Jalan Siantan Kota Klias Beaufort.
Murid terpaksa berjalan kaki selama 20 minit dan memakai pakaian biasa ketika melalui jalan berlumpur bagi mengelak pakaian seragam sekolah kotor terkena lumpur di Jalan Siantan Kota Klias Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Hampir 100 penduduk yang tinggal di sepanjang Jalan Siantan Kampung Kota Klias di sini menderita sejak dua bulan lalu apabila laluan sejauh lima kilometer yang sedang dinaik taraf rosak teruk dan berlumpur ketika musim hujan.

Walaupun aduan telah dibuat kepada pemaju projek dan jabatan berkaitan namun tiada sebarang tindakan diambil bagi memudahkan penduduk menggunakan laluan berkenaan.

Menurut penduduk Hanisah Roslan, 30, keadaan jalan yang rosak dan berlumpur menyukarkannya untuk keluar dari rumah kerana ia adalah laluan utama penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, projek itu dilaksanakan pada tahun lalu namun sejak Februari lalu ketika jalan itu sedang dinaik taraf di mana kenderaan berat seperti lori kerap keluar dan masuk ke laluan itu menyebabkan jalan semakin rosak.

"Ketika hujan lebat keadaan jalan akan berlumpur sehingga menyebabkan tayar kenderaan terkubur berikutan lubang yang dalam dan licin disebabkan laluan yang rosak.

"Tayar kereta milik abang saya sudah dua kali terkubur dan saya sendiri bimbang memandu ketika melalui jalan berkenaan kerana risau mengalami perkara sama," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, akibat jalan yang rosak menyebabkan murid turut terkesan di mana jika hujan lebat mereka terpaksa tidak dapat hadir ke sekolah.

"Ada murid terpaksa tidak dapat hadir ke sekolah kerana pakaian seragam kotor akibat terkena lumpur ketika melalui jalan itu.

"Jika mereka mahu ke sekolah juga, murid terpaksa berjalan kaki selama 20 minit atau ada ibu bapa mengambil inisiatif menggunakan kenderaan pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) untuk melalui jalan berlumpur dan mereka terpaksa memakai pakaian biasa sebelum menukar seragam sekolah untuk mengelak terkena lumpur," ujarnya.

Keadaan jalan berlumpur menyebabkan tayar kenderaan tenggelam berikutan jalan yang licin menyukarkan penduduk melalui jalan berkenaan.
Keadaan jalan berlumpur menyebabkan tayar kenderaan tenggelam berikutan jalan yang licin menyukarkan penduduk melalui jalan berkenaan.

Sehubungan itu, Hanisah berharap perkara itu dapat diselesaikan bagi memudahkan penduduk kampung bukan saja mereka yang bekerja dan murid tetapi pekebun yang turut menggunakan jalan itu sebagai laluan utama untuk keluar dan masuk ke kampung mereka.

"Saya juga bimbang apabila ada kecemasan dan kenderaan seperti ambulans tidak dapat melalui jalan berkenaan disebabkan kerosakan yang teruk pada laluan terbabit.

"Perkara ini telahpun saya sampaikan kepada pihak berkaitan secara namun sehingga kini tiada tindakan diambil dan menyebabkan kami menderita ketika melalui jalan ini.

"Jadi saya harap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat memantau perkara ini dan meminta pemaju melakukan inisiatif lain seperti menabur batu di laluan itu supaya penduduk dapat menggunakan jalan itu sepanjang projek menaiktaraf dilaksanakan," katanya.