Najis merpati boleh bawa penyakit kepada manusia

Azhar (kiri) dan Fitter
Azhar (kiri) dan Fitter
A
A
A

SHAH ALAM - Burung-burung liar yang membuat sarang dalam bangunan termasuk merpati boleh membawa penyakit berjangkit kepada manusia menerusi timbunan najis lama yang terbiar kering.

Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Azhar Kasim berkata, najis merpati yang kering akan ditumbuhi kulat serta menghasilkan debu yang akan berapung jika terdapat pergerakan udara.

Beliau berkata, debu itu kemudiannya akan masuk ke dalam sistem pernafasan dan seterusnya menjangkiti seseorang manusia.

"Kebiasaannya mereka yang mempunyai daya imuniti rendah serta mempunyai penyakit asma atau alergi lebih berisiko untuk dijangkiti.

"Kebanyakan kes berkaitan najis merpati ini berlaku di luar negara dan melibatkan jangkitan pada paru-paru serta sistem saraf manusia. Tapi di Malaysia setakat ini, belum ada kes direkodkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Namun begitu katanya, perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana pada masa kini sesiapa sahaja mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.

"Apa yang penting, sebarang penyakit boleh dielakkan apabila kita menjaga kebersihan.

"Kita tak boleh salahkan burung, sebab bukan salah mereka tapi salah manusia kerana tidak jaga kebersihan. Ambil contoh mudah, kalau rumah kita berhabuk atau berdebu, jika tidak dibersihkan lama-kelamaan boleh sebabkan penyakit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azhar berkata, dalam kes pencemaran najis dan hama burung merpati di bahagian atas siling Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, beliau menyarankan pihak sekolah untuk membuat penyelenggaraan bangunan agar dapat menghalang burung merpati dari terus masuk ke dalam siling, membuat sarang dan membuang najis di situ.

"Dalam kes itu, mereka yang ingin membuat pembersihan atau penyelenggaraan ini juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya agar tidak terdedah kepada jangkitan, selain kaedah pembersihan dilakukan dengan betul," katanya.

Terdahulu, Exco Kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan untuk segera menangani isu pencemaran najis dan hama burung merpati di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort bagi mengelakkan masalah kesihatan kepada murid.

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan, KPJ Kajang Specialist Hospital, Dr Fitter Baharom juga memberitahu, kulat yang terhasil daripada najis merpati yang kering dikenali sebagai histoplasmosis dan cryptococcosis.

"Lazimnya ia menjangkiti sistem pernafasan (paru-paru) dan boleh merebak ke sistem-sistem lain. Histoplasmosis diketahui boleh mengakibatkan maut walaupun jarang sekali berlaku.

"Simptom bagi jangkitan ini biasanya adalah batuk, demam atau selesema. Jarang sekali sesak nafas kecuali jangkitan yang telah lama. Bagi kes di sekolah di Johor itu, ia berlaku agak akut (mendadak), yang mana susah untuk dikaitkan dengan jangkitan penyakit," katanya memberitahu punca sebenar kejadian perlu dipastikan terlebih dahulu.