Agong cemar duli melawat mangsa kebakaran di HTAA

Al Sultan Abdullah beramah mesra Muhammad Alif Asyraf yang hanya mengalami cedera ringan dan terselamat dalam kebakaran tersebut ketika ditemui di HTAA di sini, hari ini.
Al Sultan Abdullah beramah mesra Muhammad Alif Asyraf yang hanya mengalami cedera ringan dan terselamat dalam kebakaran tersebut ketika ditemui di HTAA di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran yang masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, hari ini.

Kebakaran yang berlaku di Perkampungan Sungai Isap 2, Ahad lalu itu telah mengorbankan tiga beranak dan tiga mangsa yang parah dirawat di HTAA.

Seri Paduka Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong,Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba HTAA kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Baginda turut bersalam bersama rakyat yang menerima rawatan di hospital tersebut.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya bersalaman bersama keluarga mangsa serta bertemu mangsa yang parah di Acute Critical Bay kerana memerlukan rawatan rapi daripada pihak doktor.

Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit dan turut berkenaan mengurniakan sumbangan kepada mangsa yang cedera parah.

Bagi mangsa yang terselamat, Nor Syawalina Abdullah, 19, tidak menyangka Seri Paduka Baginda akan bertemu mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut.

"Saya terharu... tak dapat cakap apa-apa kerana Tuanku sendiri sanggup turun dari Istana Negara semata-mata untuk berjumpa kami.

Artikel Berkaitan:

"Menjunjung kasih kepada Tuanku kerana meluangkan masa bersama kami yang sedikit sebanyak memberi keceriaan dan semangat kepada kami," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah tiga beranak mangsa kebakaran selamat dikebumikan

Terdahulu, Baginda merupakan antara ‘kenamaan’ paling awal menzahirkan takziah atas kehilangan tiga nyawa pada kebakaran yang berlaku pada 7.45 pagi Ahad lalu dan menitahkan supaya bantuan segera diberikan kepada semua mangsa.

Pada kejadian itu, mereka yang maut ialah Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anak lelakinya, Muhamad Haikal Hakimi Hairul, 11, dan Mohamad Adam Daniel, tujuh, dipercayai akibat terperangkap semasa kebakaran berlaku.

Kebakaran yang dipercayai bermula dari ruang tengah rumah mangsa juga menyebabkan tiga parah iaitu suami Sharifah Azlina, Hairul Khalid, 38, Syed Azman, 25, yang merupakan adik Sharifah Azlina dan isterinya Norazilah Abdullah, 23.

Adik kepada Norazlina, Nor Syawalina, 19, pula cedera ringan manakala Muhammad Alif Asyraf, enam, yang merupakan anak Syed Azman dan Norazilah tidak cedera.