Jenazah tiga beranak mangsa kebakaran selamat dikebumikan

Wan Samsul (kiri) dan anggota serta keluarga mangsa membantu mengangkat jenazah tiga beranak yang tiba di tanah pekuburan Felda Chini sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.
A
A

PEKAN - Jenazah tiga beranak yang terkorban dalam kebakaran rumah di Sungai Isap pagi semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chini 4 di sini, tengah malam tadi.

Jenazah Sharifah Azlina Syed Kassim, 37 dan dua anaknya Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhammad Adam Daniel, 7 yang dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan tiba kira-kira jam 11.40 malam sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.

Urusan pengebumian tiga beranak itu turut dibantu anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, tujuh anggotanya terlibat membantu menguruskan pengebumian mangsa selain menyediakan bantuan pencahayaan di kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi semalam Sharifah Azlina dan dua anak lelakinya ditemui rentung selepas terperangkap dalam rumah mereka yang terbakar.

Mayat mangsa ditemui rentung di bilik belakang rumah, manakala mayat dua anaknya di bilik berasingan.

Tiga lagi yang berada di rumah itu ketika kejadian parah dan seorang cedera ringan, manakala seorang kanak-kanak berusia enam tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tiga yang parah iaitu suami serta adik Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38, dan Syed Azman, 25 manakala seorang lagi, isteri Syed Azman, Norazilah Abdullah, 23.

Adik Norazilah, Nor Syawalina Abdullah, 19 mengalami kecederaan ringan manakala anak Syed Azman, Muhammad Alif Asyraf, tidak mengalami sebarang kecederaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia