Jururawat rugi RM18,000 ditipu scammer

Gambar hiasan
A
A

KUANTAN- Seorang jururawat dari Temerloh rugi RM18,000 selepas menjadi mangsa ' scammer' yang menyamar sebagai pegawai polis, semalam.

Mangsa berusia 42 tahun dihubungi suspek yang memaklumkan dia dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes langgar lari dan penyeludupan wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang daripada akaun banknya ke akaun lain yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan pihak mahkamah.

Menurutnya, mangsa terpaksa akur dengan arahan suspek kerana bimbang ditangkap lalu membuat tiga transaksi pindahan wang ke akaun atas nama seorang wanita dengan jumlah keseluruhan RM18,000.

Selepas semua wang dipindahkan, mangsa memaklumkan perkara itu kepada kawan dan dia dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak polis kerana disyaki ditipu.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas dimaklumkan dia telah menjadi mangsa sindiket penipuan," katanya.

Mohd Wazir berkata, susulan laporan dibuat mangsa, pihaknya membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis turut mengesan wanita pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia