Penjawat awam rugi RM852,000 diperdaya scammer

Gambar hiasan. Gambar kecil: Muhamad Zaki
Gambar hiasan. Gambar kecil: Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM852,000 selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai insurans, polis dan mahkamah pada Jumaat.

Lelaki yang berusia 50-an itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri dari ibu pejabat sebuah syarikat insurans di Ampang pada penghujung Januari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek mendakwa mangsa telah membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh masa yang singkat.

"Pada awal Februari lalu, mangsa sekali lagi telah menerima panggilan telefon dari syarikat insurans yang sama memaklumkan bahawa kakitangan kerajaan terbabit terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

"Mangsa turut diberitahu, waran tangkap dan pembekuan akaun ke atasnya telah dikeluarkan. Selepas itu, panggilan telefon kemudiannya telah disambungkan kepada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, mangsa kemudian diarahkan untuk membuka akaun sebuah bank menggunakan nombor telefon yang diberikan oleh suspek semasa proses terbabit.

Ujarnya, suspek meminta mangsa untuk memindahkan wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya ke dalam akaun yang baharu dibuka.

Muhamad Zaki memberitahu, suspek juga mengarahkan mangsa untuk membuat pinjaman peribadi dengan pihak bank sebanyak RM350,000.

"Selepas pihak bank meluluskan permohonan sebanyak RM327,000 mangsa telah melakukan pemindahan ke dalam akaun bank baharu miliknya seperti yang diarahkan oleh suspek.

"Suspek kemudiannya memberitahu mangsa bahawa pihak mahkamah memerlukan masa selama tiga bulan untuk memberikan keputusan rasmi kepada mangsa," ujarnya.

Beliau memberitahu, pada awal April lalu, mangsa cuba untuk mendaftar perbankan dalam talian untuk akaun bank terbabit tetapi gagal kerana ada pihak telah mendaftar menggunakan nombor akaunnya.

Tambahnya, lelaki terbabit kemudian telah membuat semakan di bank berhampiran dan mendapati di dalam akaun hanya berbaki RM48.

"Menyedari telah ditipu, mangsa hadir ke balai polis untuk membuat laporan.

"Anggaran kerugian yang dialami lebih kurang RM850,000 dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.