Pengarah syarikat didenda RM20,000, bekal 631 unit jam tangan tiruan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat jam warga Pakistan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana membekalkan jam tangan tiruan pelbagai jenama berjumlah 631 unit, tiga minggu lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Nazar Shafi Muhammad,38, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Nazar Shafi selaku pengarah Syarikat Him Super Watch & Accessories Sdn Bhd didapati membekalkan 631 unit jam tangan pelbagai jenama iaitu Tommy Hilfiger, Puma, Michael Kors, Chanel, Casio dan Louis Vuitton yang merupakan suatu perihal dagangan palsu.

Dia tuduh melakukan kesalahan itu di premis perniagaan Him Super Watch & Accessories itu di No 2-26, Plaza GM Lorong Haji Taib 5, Off Jalan Raja Laut di sini pada 12.30 tengah hari, 2 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEP WP Kuala Lumpur) Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, mengambil kira kesalahan serius dilakukan OKS.

Artikel Berkaitan:

“Kesalahan yang dilakukan OKS ini telah memberikan kesan negatif kepada negara kerana barang-barang cap dagangan palsu ini tidak dikenakan cukai.

“Tambahan pula, OKS adalah warganegara Pakistan seharusnya mematuhi undang-undang negara,” katanya.

Nazar Shafi yang diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh memohon hukuman denda paling minimum kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya telah memberi kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa sepanjang dia disiasat.

“Dia juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama malah dia juga berhasrat untuk tidak meneruskan perniagaannya itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan di premis tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah menjalankan perniagaan menjual dan mempamerkan pelbagai jenis jam tangan pelbagai jenama yang menggunakan cap dagang yang disyaki palsu. - Bernama