Kedah lancar Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharu

 Mukhriz Tun Mahathir
Mukhriz Tun Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Menteri Besar Kedah melancarkan Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharu Negeri Kedah, sebagai garis panduan khusus untuk memastikan pembangunan negeri seiring kelestarian alam.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pelan itu juga akan menjadi panduan bagi pelabur yang berminat untuk melabur dalam industri tenaga boleh diperbaharu di negeri ini.

"Pelan yang dirangka dengan kerjasama Cypark Resource Berhad ini menggariskan empat teras utama dengan memberi fokus kepada pembangunan tenaga solar, biogas, biojisim dan hidroelektrik.

"Pelan induk ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan negeri tidak menjejaskan kelestarian alam semula jadi di negeri ini,” katanya ketika melancarkan pelan itu di Sik, malam tadi.

Beliau berkata Malaysia boleh mengumpul tiga kilowatt per jam elektrik bagi setiap meter persegi daripada solar memandangkan berkedudukan negara ini berhampiran garisan Khatulistiwa.

"Bagi tenaga biojisim dan biogas, ia dapat dihasilkan menerusi sisa buangan yang terhasil dan dikumpulkan oleh pihak berkuasa tempatan selain daripada sisa buangan hasil pertanian seperti sekam padi dan hampas kelapa sawit,” katanya.

Mukhriz berkata di samping dapat menyumbang kepada grid tenaga nasional, ia juga dapat menjana pendapatan sampingan petani terutamanya di luar musim penanaman.

"Berdasarkan keluasan kawasan pertanian yang ada, Kedah mempunyai sisa pertanian yang banyak terutamanya dari ladang kelapa sawit dan kawasan sawah padi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata sisa buangan daripada hasil pertanian boleh diproses untuk menghasilkan tenaga boleh baharu melalui kepakaran teknologi yang ada.

"Contohnya, sekam padi boleh menghasilkan tenaga kerana ia mempunyai 30 hingga 50 peratus karbon organik,” katanya.

Beliau berkata bagi tenaga hijau pula, kerajaan negeri akan menumpukan projek serta aktiviti pembangunan yang seimbang dan menjamin kelestarian alam seperti pengurangan penggunaan tenaga elektrik, pengurangan pelepasan karbon serta meningkatkan kualiti udara di negeri ini.

Menerusi pelan itu juga, pihaknya menyasarkan keupayaan pengeluaran tenaga boleh baharu sebanyak 2,000 megawatt pada 2030, selain berpeluang menikmati nilai pelaburan sehingga RM6 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang. -Bernama