Politik had umur mengundi

A
A

PADA minggu lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik apabila mencecah usia tersebut.

RUU itu sebenarnya akan gagal jika tidak mendapat sokongan ahli Parlimen blok pembangkang. Ini kerana kerajaan tidak mempunyai dua pertiga kerusi untuk meminda perlembagaan secara semberono.

Justeru, rentetan usaha melakukan pindaan ini sangat menarik untuk ditelaah sikap sebenar ahli politik kerajaan sama ada mereka benar-benar mahu melaksanakan hasrat ini atau sekadar bermain politik untuk mendapat sokongan orang muda.

Kerajaan dari awal, walaupun mengetahui tiada majoriti dua pertiga, langsung tidak berunding dan mengambil kira pandangan ahli Parlimen blok pembangkang dalam menggubal dan membaca RUU itu buat kali pertama.

Langkah itu boleh ditafsir sebagai bertujuan menggagalkan pindaan tersebut dan meletakkan kegagalan kepada blok pembangkang.

Pada masa akan datang mudahlah mereka menjual mimpi kepada orang muda lagi bahawa Barisan Nasional (BN) dan Pas tidak memberi tempat kepada muda.

Mereka mungkin berpendapat usul ini akan ditolak oleh BN kerana sebahagian besar punca kegagalan parti tersebut dalam pilihan raya lalu kerana kehilangan sokongan anak muda di bawah 40 tahun.

Bagaimanapun, BN menyedari sokongan orang muda boleh berubah-ubah dan lumrahnya orang muda merupakan kumpulan anti-establishment, pemberontak dan mempunyai pandangan yang agak sinis. Senario itu lebih menguntungkan parti pembangkang berbanding parti kerajaan seperti mana yang telah dibuktikan dalam beberapa pilihan raya umum lalu.

Justeru, blok pembangkang, BN dan Pas telah memberi janji akan menyokong pindaan Perlembagaan tersebut dengan syarat kerajaan melaksanakan pendaftaran automatik dan turut menurunkan had umur wakil rakyat daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Tuntutan blok pembangkang itu telah mengubah senario semasa dan meletakkan kerajaan dalam keadaan tersepit. Ini kerana permintaan yang dibuat sangat rasional dan mudah untuk dipenuhi oleh kerajaan sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu membuat pindaan tersebut.

Akhirnya selepas pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan blok pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju memenuhi permintaan blok pembangkang untuk pendaftaran secara automatik.

Pada 10 julai lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengusulkan penarikan semula RUU tersebut yang telah dibentangkan buat kali pertama seminggu sebelumnya.

RUU itu terpaksa ditarik balik bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya. Akhirnya ia diluluskan sebulat suara ketika dibentangkan semula.

Pindaan Perlembagaan hanyalah langkah pertama. Masih ada beberapa langkah untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi memenuhi kehendak pindaan ini.

Kita akan menunggu bila Kerajaan akan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 bagi membolehkan pindaan Perlembagaan berkuat kuasa.Perubahan hak mengundi dari segi umur dan pendaftaran automatik datang dengan tanggungjawab lebih berat kepada kerajaan dan ahli politik.

Kerajaan harus menyediakan prasarana dan infra yang sesuai dengan pertambahan jumlah pengundi sekali ganda dalam pilihan raya umum akan datang; dianggarkan jumlah pengundi akan meningkat daripada sekitar 14 juta orang kepada 25 juta orang menjelang pilihan raya akan datang.

Parti politik pula berhadapan tanggungjawab lebih serius untuk memberi kefahaman dan pengetahuan mengenai pentadbiran, ekonomi dan kewangan negara kepada golongan muda.

Dari sudut masyarakat Islam juga akan wujud kebimbangan generasi muda ini secara tidak sedar akan terpengaruh dengan gerakan menghakis kedudukan Islam di Malaysia. Jika dilihat dari komentar media sosial anak muda Islam di negara ini, tidak mustahil status quo agama Islam di negara ini akan terhakis sedikit demi sedikit melalui idea-idea liberalis Muslim.

Penulis sentiasa berpendapat hak mengundi harus datang dengan kematangan berfikir, namun aliran semasa sukar untuk kita menolak idea-idea pembaharuan seperti ini. Justeru, persoalan terbesar kepada negara hari ini ialah bagaimana kita mahu mewujudkan pengundi yang matang dan berpengetahuan pada usia muda.

Jika tidak kita akan berhadapan dengan satu keadaan demokrasi yang terlalu besar dan luas hanya menyebabkan keputusan memilih kerajaan dihasilkan melalui emosi dan persepsi semata-mata.* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.