Umur bersara: 60 atau 65 tahun, biar pekerja pilih sendiri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan agar pekerja di negara ini dibenarkan bekerja sehingga umur 65 tahun atas kerelaan mereka sendiri susulan perdebatan umur persaraan rasmi negara.

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D'Angelus berkata, mereka tidak boleh dipaksa untuk bersara dan bekerja.

Menurutnya, sekiranya mereka ingin melanjutkan usia persaraan, tidak seharusnya melibatkan pekerjaan secara kontrak kerana ia akan menimbulkan amalan pekerjaan yang tidak menentu dan mengeksploitasi tenaga kerja.

“Mereka yang melebihi umur 60 tahun sehingga 65 tahun yang ingin melanjutkan persaraan mereka akan mengurangkan tekanan ekonomi pada diri dan negara secara keseluruhan.

“Bagi yang memilih untuk bersara pada usia 60 tahun ke atas, mereka harus dibenarkan berbuat demikian dan sepatutnya terpakai kepada sektor awam dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, sektor perniagaan juga bakal mendapat manfaat sekiranya cadangan had kenaikan umur bersara dilaksanakan kerana akan mempunyai akses kepada tenaga kerja yang berpengalaman untuk jangka masa yang lebih lama.

"Negara memerlukan beberapa penyelesaian yang kreatif dalam isu yang melibatkan pekerja di negara ini dan pembaharuan besar dasar buruh serta ekonomi juga diperlukan.

"Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan agenda reformasi yang sedia ada telah dilengkapi dengan baik untuk melaksanakan tindakan tersebut," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendirian Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa umur persaraan tidak harus dinaikkan tidak menyelesaikan isu yang dihadapi oleh pekerja di negara ini.

Ini kerana katanya, kakitangan sektor swasta, yang bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini berdepan dengan cabaran getir apabila 51.5 peratus ahli di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000.

“Mereka berpendapat bahawa generasi muda akan kehilangan peluang pekerjaan jika umur persaraan dinaikkan. Ini satu anggapan ekonomi yang salah.

“Ini bermakna Malaysia sedang menuju ke arah krisis sosioekonomi yang serius bagi rakyatnya yang sudah bersara dan akan bersara,” ujarnya.