Mangsa pencemaran perlu periksa kesihatan berkala

Dr Mah sempat berbual dengan sebahagian mangsa yang hadir pada pertemuan itu.
A
A

PASIR GUDANG - Mangsa pencemaran toksik di Pasir Gudang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pemeriksaan kesihatan itu penting susulan tiada siapa mengetahui risiko dialami mangsa untuk jangka panjang.

"Pemeriksaan kesihatan berkala itu penting kerana kita tak tahu risiko kepada badan mangsa ini. Dari segi kesihatan ia merangkumi tiga aspek iaitu fizikal, mental dan psikologi. Dua atau tiga kali setahun untuk tempoh lima tahun atau 10 tahun mendatang.

"Kita dengar ada antara mangsa yang tertekan dari segi mental dan psikologikal kerana mereka telah pitam sekurang-kurangnya dua atau tiga kali. Ada yang tertekan sebab anak mereka dimasukkan ke hospital menerima rawatan," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan mangsa pencemaran toksik di Pasir Gudang, di sini, Jumaat lalu.

Beliau akui cadangan dikemukakan Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) terhadap kerajaan sangat wajar.

"Mereka minta kerajaan mengadakan komunikasi secara terbuka dengan BBPIPA kemudian wujudkan tabung kebajikan untuk membantu mangsa yang menghadapi masalah pencemaran di kawasan ini untuk membolehkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Kemudian ganti rugi kepada mangsa terutama untuk menjalani rawatan, kehilangan kerja, kehilangan sumber pendapatan dan sebagainya.

"Jadi, saya gesa kerajaan gubal satu perancangan yang sempurna untuk membantu rakyat yang terdedah kepada masalah toksik dan pencemaran udara di kawasan ini," katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 150 mangsa berdaftar yang dikumpulkan oleh Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) melalui sumbangan orang ramai sebanyak RM15,000.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia