Bukan Pas lulus projek kuari Gunung Pulai

Abd Nasir (depan, dua dari kiri) bersama wakil penduduk Baling.
Abd Nasir (depan, dua dari kiri) bersama wakil penduduk Baling.
A
A
A

BALING - Pas kesal apabila dituduh sebagai petualang operasi kuari batu kapur di Gunung Pulai ketika memerintah Kedah pada tahun 2008 hingga 2013.

Perkara itu tular di media sosial dan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penduduk Baling sejak beberapa hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, tuduhan dilemparkan kepada Pas itu ialah satu fitnah dan tindakan jahat.

Beliau menegaskan, operasi kuari berkenaan diluluskan sejak 1996 oleh kerajaan yang mentadbir Kedah ketika itu.

"Jika benar projek kuari sudah diluluskan sejak zaman Menteri Besar, Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak, mengapa kerajaan negeri pada waktu itu tidak mengambil tanah penduduk seperti berlaku pada zaman Pakatan Harapan (PH) hari ini?

"Mengapa juga pada waktu itu projek kuari tidak terus dijalankan saja di Gunung Pulai?," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pada zaman pemerintahan Pas, kerajaan negeri memberikan kelulusan secara bersyarat iaitu pihak syarikat wajib mendapatkan kelulusan Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA).

"Kerajaan negeri pimpinan Pas pada masa itu turut bertindak membatalkan kelulusan dasar operasi kuari batu kapur di Gunung Pulai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abd Nasir berkata, kerajaan negeri dituntut menjelaskan bagaimana 29 lot bergeran penduduk boleh diambil tanpa berunding dengan pemilik tanah.

"Lebih menghairankan apabila tanah bagi tujuan pembinaan jalan kuari diambil sedangkan Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi operasi kuari Gunung Pulai belum dikeluarkan.

"EAI diluluskan pada 2014 dan tamat pada 2016, tetapi pihak tersebut memohon tempoh lanjutan dua tahun lagi. Pada Februari 2019, EIA berkenaan telah tamat tempoh.

Menurutnya, laporan EIA pada 2014 dikeluarkan oleh pihak swasta dan bukannya agensi kerajaan dan perkara itu dibimbangi berlaku berat sebelah.

"Kita keliru dan musykil bagaimana pengambilan tanah boleh dilakukan. Adakah projek ini sudah pasti akan dijalankan?," katanya.