MBM sokong Syed Saddiq

Muhammad Fadzli Hasan
Muhammad Fadzli Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Desakan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy letak jawatan disifatkan sebagai suara belia menolak pemimpin yang gagal dalam menjalankan peranannya.

Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Fadzli Hasan berkata, pertubuhan belia itu menyokong pendirian Menteri Belia dan Sukan itu dan akan memberi sokongan terhadap beliau.

“Desakan Syed Saddiq itu jelas suatu pembuktian bahawa majoriti belia di Malaysia ini menolak pemimpin yang secara jelas telah gagal melaksanakan tanggungjawab dalam menangani isu perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“MBM juga menegaskan bahawa sokongan yang diberikan bukan bermotifkan sokongan politik sebaliknya menyedari bahawa keberanian Syed Saddiq menyuarakan desakan itu adalah kerana kebenaran dan keadilan yang dituntut oleh masyarakat Malaysia ketika ini,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Muhammad Fadzli berkata, MBM juga sebelum ini menyatakan desakan sama dan tegas menolak sebarang tanggapan bahawa desakan ini bermotifkan perkauman, sebaliknya membawa suara rata-rata belia di akar umbi yang tidak puas hati dengan prestasi Waytha Moorthy.

Desakan Syed Saddiq itu turut mengundang reaksi tidak senang Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy di mana desakan dari sayap parti Bersatu itu dilihat sebagai ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai respon terhadap kenyataan Ramasamy itu, Syed Saddiq menegaskan beliau masuk politik bukan untuk ‘play safe’ dan menjadi ‘pak turut’ sebaliknya menjadi suara rakyat.

Nama Waytha Moorthy tercalar selepas insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini sehingga menyebabkan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia dipercayai akibat dipukul perusuh.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, himpunan ‘Justice For Adib’ dianjurkan di mana peserta berarak dari Hadapan Masjid Putra menuju ke Pejabat Perdana Menteri.

Himpunan yang disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan itu dianjurkan bagi menuntut keadilan atas kematian Muhammad Adib, 17 Disember lalu.

Himpunan itu turut mendesak Waytha Moorty meletakkan jawatan dan memorandum berkenaan desakan itu diserahkan kepada Dr Mahathir.