Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya empat hari lagi

Jangkaan tempoh bekalan air pulih mengikut kawasan wilayah.
Jangkaan tempoh bekalan air pulih mengikut kawasan wilayah.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air yang terjejas di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor sejak semalam dijangka pulih sepenuhnya empat hari lagi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan bekalan berperingkat mengikut kawasan yang terjejas.

Menurutnya, bagi daerah Petaling,16 kawasan dijangka menerima bekalan esok manakala selebihnya secara berperingkat hingga Rabu ini.

“Bekalan air di kawasan Klang dan juga Kuala Langat dijangka pulih empat hari lagi mengikut kawasan.

“Bagi kawasan Kuala Lumpur, pengguna di 156 kawasan akan menerima semula bekalan tengah hari esok manakala 64 kawasan lagi dijangka mendapat kembali bekalan Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata, pengguna di 16 kawasan di Kuala Selangor pula akan menerima bekalan selewat-lewatnya jam 12 tengah hari, esok.

Menurutnya, bekalan air yang terjejas di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat sejak semalam kini pulih mencapai tahap 67 peratus hingga jam 3 petang tadi.

Katanya, setakat ini hanya gangguan bekalan air di Hulu Selangor sudah pulih sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi kawasan Kuala Lumpur peratus pulih mencapai tahap 64 peratus; Petaling (67 peratus); Klang/Shah Alam (53 peratus); Kuala Selangor (97 peratus) dan Gombak (93 peratus).

“Pihak kami sedang meningkatkan usaha menstabilkan aliran dan tekanan di sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air keseluruhan kawasan.

“Pelanggan di kawasan yang telah pulih dan mendapat bekalan diminta menggunakan air dengan berhemat dan elak pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Abdul Raof berkata, bantuan bekalan melalui lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas.

Katanya, pihaknya mengaktifkan pusat khidmat setempat (PKS) dan pili-pili awam di beberapa lokasi terpilih.

“Selain itu, edaran sebanyak 18,000 air botol 5 liter kepada pelanggan di kediaman bertingkat akan dilaksanakan.

“Pelanggan boleh mendapatkan maklumat dan status terkini pelanggan dengan melayari laman sesawang www.syabas.com,my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @airselangor atau hubungi di talian 15300.

“Bagi kes-kes kecemasan, pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019281 6793/019280 0919,” katanya.

Terdahulu empat loji rawatan air (LRA) termasuk LRA Fasa 1, LRA Fasa 2 dan LRA Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor semalam.

Sebanyak 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas susulan operasi empat loji terbabit dihentikan.