Arkitek Menara Berkembar Petronas meninggal dunia

César Pelli
César Pelli
A
A
A

BUENOS AIRES - César Pelli, arkitek Argentina di sebalik rekaan mercu tanda ikonik Menara Berkembar Petronas meninggal dunia pada usia 92 tahun, lapor media dan pihak berkuasa Argentina.

Membesar di Argentina dan mempelajari jurusan seni bina di Universiti Tucumán, Pelli mengganggap dirinya sebagai seorang pendidik selain turut mencipta nama di Amerika Syarikat di mana studio utamanya beroperasi.

Berita pemergian arkitek tersohor berkenaan dilaporkan agensi berita Telam dan Gabonor wilayah Tucuman semalam.

"Dengan penuh dukacita kami menerima berita kematian César Pelli. Saya ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan juga pasukannya.

"Beliau merupakan seorang pereka hebat dan legasinya akan kekal dalam setiap hasil kerjanya," kata Gabenor Tucuman, Juan Manzur di laman Twitter.

Selain Menara Berkembar Petronas yang pada satu ketika merupakan bangunan tertinggi di dunia, antara hasil rekaan terkenal pengasas firma Pelli Clarke Pelli Architects itu termasuk Pusat Kewangan Dunia di New York, Menara Canary Wharf di London dan kerja pengubahsuaian di Muzium Seni Moden di New York. - Reuters

Artikel Berkaitan: