Nama saja dewan orang ramai, tapi tidak ramai boleh guna

Sivanesan (tiga dari kiri) bergambar bersama penguat kuasa dan pegawai MDT yang melakukan pemeriksaan di Pasar Awam Bidor hari ini.
A
A

BIDOR - Sikap kerajaan terdahulu membenarkan dewan orang ramai di bina di atas tanah persendirian hingga menyukarkan rakyat menggunakannya selepas PH mengambil alih kerajaan perlu dikenakan tindakan.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya akan membawa perkara berkenaan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu hadapan bagi mendapatkan penjelasan, membincangkan tindakan perlu diambil termasuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Masalah di Perak sekarang adalah apabila ada penduduk mengadu dewan yang dibina menggunakan duit kerajaan sebelum ini serta di atas tapak individu atau parti politik lain tidak boleh digunakan selepas PH memerintah.

"Ini adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh memandangkan berlakunya penyalahgunaan kemudahan yang didirikan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan individu serta parti," katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan pemeriksaan di Pasar Awam Bidor di sini hari ini.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) perlu memberikan penjelasan bagaimana dewan untuk kegunaan komuniti yang dibina di tanah milik individu atau parti diluluskan begitu sahaja dan kini menjadi milik mereka bukan rakyat.

"Perkara ini benar-benar terjadi apabila saya dua minggu lalu hadir sambutan hari raya di sebuah kampung di DUN Sungkai kawasan saya sendiri. Penduduk meraikannya di surau sedangkan terdapat dewan di sebelah surau itu.

"Bila saya tanya kenapa tidak gunakan dewan? Ada penduduk beritahu tuan tanah tidak izinkan mereka guna malah saya juga dimaklumkan dewan itu mahu diroboh sedangkan ia dibina menggunakan duit rakyat," katanya.

Sivanesan berkata, pihaknya turut menerima aduan Arena Square Tapah bersebelahan banggunan UMNO di Tapah tidak boleh digunakan orang ramai kerana ia didakwa milik UMNO dan dibina di atas tanah parti tersebut.

"Jadi saya mahu BN berikan penjelasan mereka bagaimana perkara ini berlaku semasa pemerintahan mereka dan ini menunjukkan terjadinya salah guna kuasa serta amalan korupsi.

"Saya menggesa polis serta SPRM menjalankan siasatan terhadap mereka yang membenarkan dewan orang ramai ini di bina di atas tanah individu atau parti pada zaman BN dan dijadikan sebagai hak milik sendiri dan bukan kegunaan orang ramai," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia