Lelaki ditahan edar 225kg daun ketum

Sebanyak 45 bungkusan mengandungi daun ketum dirampas dalam satu operasi di Kampung Sungai Rubana semalam. (Gambar kecil, Mohd Marzukhi)
Sebanyak 45 bungkusan mengandungi daun ketum dirampas dalam satu operasi di Kampung Sungai Rubana semalam. (Gambar kecil, Mohd Marzukhi)
A
A
A

TELUK INTAN - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 225 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM2,250 di tepi jalan Kampung Sungai Rubana di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.15 petang ketika memandu kereta yang sarat dengan plastik hitam.

"Satu operasi dilaksanakan melibatkan seorang pegawai dan enam anggota menemui sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan dilakukan dan kita menjumpai 20 plastik hitam seberat 100kg di tempat duduk belakang manakala 25 bungkus seberat 125kg di dalam but kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bungkusan tersebut mengandungi daun disyaki ketum.

"Kesemua bungkusan termasuk kereta dengan nilai keseluruhan RM12,250 dirampas. Suspek memiliki daun berkenaan dipercayai untuk mengedar di kawasan berhampiran.

"Siasatan lanjut suspek yang mempunyai rekod lampau dalam jenayah didapati negatif dadah menerusi ujian saringan awal," katanya.

Mohd Marzukhi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: