Mahkamah benar RM48 juta disita daripada akaun bapa Jho Low

Aaron Chelliah, Timbalan Pendakwa Raya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan Kes bapa Jho Low, Larry Low Hok Peng berhubung perlucutan harta oleh SPRM - FOTO ZAHID IZZANI
Aaron Chelliah, Timbalan Pendakwa Raya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan Kes bapa Jho Low, Larry Low Hok Peng berhubung perlucutan harta oleh SPRM - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini membenarkan kerajaan Malaysia menyita lebih RM48 juta daripada akaun bank bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah, selepas dimaklumkan tiada pihak ketiga tampil untuk menuntut aset berkenaan.

“Notis kepada pihak ketiga tersebut telah dikeluarkan pada 17 Jun 2019 dan menyatakan hari ini 19 Julai untuk pihak-pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam harta yang disita untuk hadir ke mahkamah dan menyatakan tuntutan.

“Oleh demikian memandangkan tiada pihak ketiga yang hadir untuk menyatakan tuntutan terhadap harta yang dicadangkan untuk dilupuskan, pihak pendakwa raya memohon supaya harta-harta dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” kata timbalan pendakwa raya itu.

Pada masa yang sama Aaron memaklumkan, harta yang disita itu ialah wang berjumlah RM20,784,952.56, RM300,000, RM500,000 dan RM20 juta yang disita dari akaun simpanan tetap responden di bank RHB Cawangan KLCC yang disita pada 11 Disember 2018.

Selebihnya adalah wang berjumlah RM6,613,970.78, RM462,618.38 dan RM318,021.95 yang disita dari akaun simpanan tetap dan akaun semasa responden di Maybank, di cawangan Plaza Gurney di Pulau Pinang pada 31 Januari 2019.

Sehubungan itu mahkamah membenarkan sejumlah RM48,979,500.67 yang tidak dituntut itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Larry untuk hadir pada prosiding hari ini, namun dia tidak hadir ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 April, mahkamah mengeluarkan notis supaya pihak ketiga atau yang berkepentingan dalam akaun bank milik Larry yang dibekukan supaya tampil mengemukakan tuntutan.

Pada 29 Mac lalu kerajaan selaku pemohon memfailkan notis usul dan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik Larry dikatakan bernilai RM48 juta.

Berdasarkan peruntukan itu mahkamah akan memanggil pihak ketiga atau yang berkepentingan terhadap wang dalam akaun milik responden untuk hadir ke mahkamah.

Pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak harta itu dengan alasan baki wang akaum itu berpunca daripada perolehan salah melalui syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).