MBI kena turun padang: Sivanesan

Sivanesan (dua, kanan) memeriksa harga kambing yang merupakan salah satu barang kawalan sepanjang musim perayaan sempena Hari Natal 2018 di Pasar Besar Ipoh.
Sivanesan (dua, kanan) memeriksa harga kambing yang merupakan salah satu barang kawalan sepanjang musim perayaan sempena Hari Natal 2018 di Pasar Besar Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memandang serius aduan yang dikemukakan beberapa peniaga di Pasar Besar Ipoh.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya menerima beberapa rungutan dan aduan daripada peniaga antaranya melibatkan kebersihan di pasar tersebut.

Menurutnya, aduan yang diterima daripada peniaga bahagian daging, selain kawasan tersebut kotor, tikus juga sering berkeliaran di situ.

"Sebagai exco yang menjaga portfolio kesihatan, saya memandang serius masalah ini dan ia perlu diatasi.

“Kesemua masalah ini telah saya adukan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan mereka harus turun padang. Saya dimaklumkan yang pasar ini telah lama tidak dicuci dan saya mahu lihat ia dibersihkan segera,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 di Pasar Besar Ipoh di sini.

Hadir sama pada lawatan itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Saifullizan Kamarul Zaman dan Timbalannya, Shamsul Nizam Khalil.

Sivanesan berkata, selain itu pihaknya juga menerima rungutan daripada peniaga ayam yang berhadapan masalah dari segi jualan kerana Pasar Ayam yang dibina bersebelahan Pasar Besar Ipoh itu kurang mendapat sambutan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara alasan yang diberikan adalah peniaga di situ tidak dibenarkan menjual ayam hidup sebaliknya hanya boleh menjual ayam yang sudah diproses.

Beliau berkata, peniaga juga mencadangkan agar peniaga ikan juga mengisi ruang perniagaan yang masih kosong di dalam pasar tersebut.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berpuas hati dengan lawatan tersebut apabila mendapati kesemua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, terdapat beberapa peniaga yang menurunkan harga lebih murah daripada harga siling yang ditetapkan.