24 murid alami simptom keracunan racun serangga

Kerja menyah dan membersihkan mangsa yang terdedah dengan racun serangga berkenaan.
Kerja menyah dan membersihkan mangsa yang terdedah dengan racun serangga berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 24 murid daripada 238 warga Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson telah mengalami gejala loya dan muntah-muntah disyaki berpunca daripada racun semburan organophosphate (Malathion 57) pagi tadi.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, racun itu dipercayai digunakan di ladang cili berkeluasan dua hektar yang jaraknya 500 meter daripada Sekolah Kebangsaan Linggi.

"Setakat jam 4.30 petang tadi, seramai 12 murid telah dirujuk di Hospital Port Dickson dan 12 lagi telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Linggi melibatkan murid berumur antara 7 hingga 12 tahun.

"Sebanyak tujuh kes telah dimasukkan ke dalam wad di Hospital Port Dickson disebabkan oleh Tachycardia manakala selebihnya telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Linggi. Kesemua mangsa stabil dan tiada kematian akibat keracunan organophosphate dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Veerapan berkata, hasil siasatan menemui bahan semburan yang dikenal pasti sebagai Malathion yang digunakan untuk mengawal ulat tanaman. Namun begitu dua pekerja ladang dan komuniti setempat tidak mengalami gejala sama.

"Semburan tersebut dilakukan bermula jam 8.40 pagi selama satu jam dan murid dipercayai mulai terhidu bau racun sekitar jam 10 pagi berlarutan selama 45 minit. Hala angin dipercayai telah menyebabkan semburan racun telah terarah ke sekolah berdekatan ladang.

"Langkah kawalan telah diambil antaranya operasi semburan racun telah dihentikan sementara. Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertanian telah dimaklumkan untuk tindakan susulan selain mangsa dinasihatkan mandi dan menukar pakaian yang terdedah dengan racun," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan memaklumkan pelajar di sekolah tersebut mengalami muntah-muntah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Ketua Polis Balai Linggi bersama anggota telah ke lokasi dapati pihak sekolah telah kumpulkan semua murid di dewan terbuka.

"Wakil klinik kesihatan juga hadir memberi rawatan awal.

"Ketua Polis Linggi telah pergi ke tapak semaian cili dan mengarahkan supaya kerja meracun serangga dihentikan serta merta," katanya.

Katanya, pemilik kebun memaklumkan racun yang di gunakan adalah racun yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian dan di beli di Pejabat Peladang Port Dickson.