Desakan bercuti usah tuju pemimpin tertentu

Abdul Yunus Jamhari
Abdul Yunus Jamhari
A
A
A

KUALA KURAU - Desakan pemimpin parti bercuti daripada jawatan disandang sekiranya terpalit dengan dakwaan jenayah tidak sewajarnya ditujukan kepada pemimpin tertentu semata-mata.

Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari, berkata, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti dominan dalam kerajaan hari ini perlu bersikap lebih adil dan saksama dengan mengenakan desakan sama terhadap mana-mana pemimpin lain yang terpalit dakwaan polis tanpa bersikap prejudis.

"Kalau kita ambil semangat kenyataan Ketua Penerangan PKR (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin), maknanya semua pemimpin parti yang ada jawatan bila terpalit dakwaan (polis) kena bercutilah, tidak boleh tuju pemimpin tertentu.

"Namun dalam kes saya, saya berpegang teguh pendirian akan terus berkhidmat selagi tidak dibuktikan bersalah dan secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR itu," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Shamsul Iskandar yang meminta mana-mana pemimpin parti yang terlibat dengan siasatan polis supaya bercuti hingga kes selesai.

Abdul Yunus berkata, di sebalik pelbagai kemelut dalaman melanda kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak ketika ini, pihaknya menggesa semua pemimpin politik negeri segera menghentikan segala bentuk politik murahan yang boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Menurutnya, rakyat sedang menilai kepimpinan PH di Perak dan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bukan kerana kecenderungan mereka menyokong parti atau pemimpin PH, sebaliknya mahukan perubahan positif.

"Kalau kita hendak kerajaan Perak stabil, kena hentikan politik murahan dan kembali fokus agenda rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat menyokong PH pada PRU14 kerana hendak perubahan, sekiranya perubahan ditunjukkan lebih teruk, rakyat akan beri hukuman sebagaimana mereka hukum BN," katanya.

Sabtu lalu, Abdul Yunus berdepan dakwaan membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat pertanian.