Isu banjir di Lengkuk Golf dapat perhatian

Halimey (tiga kiri) sewaktu mengadakan lawatan tapak di lokasi terlibat.
Halimey (tiga kiri) sewaktu mengadakan lawatan tapak di lokasi terlibat.
A
A
A

PETALING JAYA - Isu banjir kilat yang menyelubungi penduduk di Lengkuk Golf SS7 bakal diselesaikan selepas permasalahan itu mendapat perhatian pihak berwajib.

Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, dua minggu lepas, pihaknya bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan wakil Pejabat Ahli Parlimen Petaling Jaya mengadakan lawatan tapak di lokasi terlibat bagi melihat secara dekat permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut Halimey, menerusi lawatan itu, pihaknya telah mengenal pasti beberapa masalah yang menyebabkan berlakunya insiden terbabit dan satu pertemuan akan diatur selepas ini bersama wakil persatuan penduduk, kawasan rukun tetangga (KRT), pemaju, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), MBPJ serta agensi terlibat.

"Menerusi lawatan tapak sebelum ini, kita dah kenal pasti beberapa punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan tersebut.

"Dan pada awal Januari ini, satu lagi mesyuarat akan dijalankan bersama pihak berkaitan dan ia akan dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, penduduk di kawasan berkenaan menggesa agar tindakan segera diambil oleh MBPJ dan pihak berkaitan berhubung isu banjir kilat yang berlaku sehingga menjejaskan sebanyak 26 unit kediaman penduduk setempat.

Selain itu, penduduk turut menyifatkan kejadian banjir kilat itu sebagai mengejutkan berikutan MBPJ baharu sahaja menyiapakan projek mitagasi banjir pada suku akhir tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Halimey berkata, buat masa ini usaha bagi melihat permasalahan itu secara menyeluruh sedang dilaksanakan dan pihaknya akan mencuba menyelesaikan isu terbabit dengan pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Kita faham kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan berkenaan sebelum ini agak teruk dan usaha bagi mengatasi permasalahan ini sedang berjalan," katanya.