MIMTA mohon kerajaan beri kelulusan bawa masuk pekerja asing

Presiden Persatuan Pengusaha Logam dan Barang-Barang Kitar Semula India Malaysia, Datuk Seri Dr P Krishnamurthi (empat dari kiri) bersama Setiausaha, Datuk V. Malarvanan (barisan hadapan empat dari kanan) menunjukkan memorandum yang dihantar kepada kerajaan untuk memohon kelulusan kemasukan pekerja asing pada sidang media di Bangunan MIMTA di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden Persatuan Pengusaha Logam dan Barang-Barang Kitar Semula India Malaysia, Datuk Seri Dr P Krishnamurthi (empat dari kiri) bersama Setiausaha, Datuk V. Malarvanan (barisan hadapan empat dari kanan) menunjukkan memorandum yang dihantar kepada kerajaan untuk memohon kelulusan kemasukan pekerja asing pada sidang media di Bangunan MIMTA di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Logam dan Barang-Barang Kitar Semula India Malaysia (MIMTA) meminta kerajaan memberi kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing dalam sektor kitar semula di Malaysia.

Setiausahanya, Datuk V Malarvanan berkata, kelulusan terakhir yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri untuk membawa masuk pekerja asing bagi sektor tersebut ialah pada 2009.

Menurutnya, persatuan berkenaan mempunyai lebih 1,500 ahli yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan besar-besaran namun 500 daripadanya hampir gulung tikar kerana tiada pekerja.

“Ketika ini persatuan memerlukan kira-kira 7,000 pekerja asing untuk bekerja dalam sektor pekerjaan yang sukar, kotor dan berbahaya (3D) bagi meneruskan perniagaan masing-masing.

“Dalam tempoh setahun lagi, jika kerajaan tidak memberi kelulusan, dijangkakan lebih ramai peniaga dalam sektor ini akan gulung tikar,” katanya pada sidang media di Pejabat MIMTA di sini hari ini.

Tambah beliau, kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan semakin meruncing apabila pekerja asing sebelum ini telah pulang ke negara masing-masing.

“Pada bulan lalu, kami telah menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri agar perkara tersebut diberikan perhatian sewajarnya namun masih tiada jawapan.

“Pekerja dari India sesuai dalam sektor ini kerana kurang masalah sosial. Kita bukan tidak mahu menggunakan tenaga kerja tempatan tetapi mereka ini tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D. Mereka hanya berminat dalam bidang pengurusan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Begitupun, Malarvanan menegaskan pihaknya masih menggunakan 30 hingga 50 peratus tenaga kerja tempatan dalam sektor pengurusan seperti jurujual, juru beli, akauntan, kerani am, penyelia dan juga pemandu lori serta jentera.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan permohonan itu kerana kerana peniaga sektor berkenaan juga membayar cukai pendapatan, cukai eksais kastam dan lain-lain cukai yang menyumbang kepada ekonomi dan pendapatan negara.

“Kami memerlukan kelulusan segera daripada kerajaan dan kami mengharapkan kerajaan mengambil berat atas masalah kami dan membuat satu pertimbangan yang wajar dalam masa terdekat untuk sektor kitar semula.

“Sektor ini perlu diberikan perhatian kerana dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan pencemaran udara serta mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu,” ujarnya.