Melaka Smart River atasi masalah banjir

Adly ketika ditemui selepas Sidang DUN Melaka Ke-14 hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Majlis Penasihat Melaka Bandar Pintar (SCAC) merancang pembangunan Melaka Smart River yang berperanan sebagai teknologi pemantauan bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pelan pembangunan di bawah teras kedua, kelestarian alam sekitar dan penjanaan sumber tenaga boleh diperbaharui itu akan menyelesaikan secara holistik masalah yang berkaitan sumber air termasuk bekalan air, air kumbahan, penggunaan air saliran semula jadi dan pengurusan banjir.

Menurutnya, dengan penggunaan teknologi pemantauan ke atas kualiti air dapat berfungsi untuk memantau kualiti air dan paras air sungai selain berkeupayaan mengesan perubahan terhadap paras air sungai agar sebarang informasi perubahan paras air boleh diperolehi lebih awal untuk agensi berkaitan mengambil langkah awal seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengaliran dan Saliran.

Katanya, menerusi badan penasihat tersebut turut mencadangkan diwujudkan pusat simpanan air mentah di hiliran agar semua limpahan air banjir boleh disalurkan ke takungan yang sedia ada selain cadangan takungan kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang tidak digunakan dijadikan pusat simpanan air sementara sebelum dilepaskan setelah air menurun.

"SCAC juga mencadangkan supaya diwujudkan pusat tadahan air hujan bagi mengatasi isu banjir dan juga isu kekurangan bekalan air mentah di lokasi strategik negeri ini.

"Maka perkara ini sedang diperhalusi agensi berkaitan iaitu Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA)," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu, Adly (Amanah-Bukit Katil) ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP-Bemban) berkata, menerusi bandar pintar teknologi mampu menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada rakyat termasuk berkaitan isu air sungai kotor hingga menyebabkan banyak ikan mati.

Menurutnya, keadaan yang telah lama berlanjutan itu berlaku disebabkan pencampuran air laut dan air sungai Melaka yang sering berlaku sekitar bulan Mei dan Jun pada musim kemarau dan isu berkenaan telah dipanjang kepada Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) bagi melihat sendiri bagaimana penstrukturan pelaksanaan proses tersebut.

"Kita sedang melakukan penilaian dan SCAC sedang merancang bukan sahaja tertumpu kepada faktor paras air sungai tapi kelestarian dan kualiti air juga diambil perhatian.

"Melaka Smart River akan diberikan perhatian dan yakin mampu memberikan kesan terbaik kepada rakyat," katanya.