Wisma Putra sedang atasi masalah sampaikan maklumat undi pos

Wisma Putra sedang atasi masalah sampaikan maklumat undi pos
Wisma Putra sedang atasi masalah sampaikan maklumat undi pos
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) telah dan sedang mengambil tindakan mengatasi masalah-masalah teknikal bagi membolehkannya menyampaikan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung undi pos bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata demikian merujuk kepada laporan akhbar The Star pada 25 Jun 2023 yang memetik kenyataan Global Bersih berhubung perkongsian maklumat yang salah atau tidak dikemaskini pada Portal Rasmi pejabat-pejabat Malawakil mengenai undi pos.

Kementerian Luar Negeri akan terus memastikan maklumat yang jelas, sahih dan terkini yang disediakan SPR dapat disalurkan bagi makluman para pengundi dan rakyat Malaysia di luar negara.

"Bagaimanapun, sebilangan kecil pejabat Malawakil telah berdepan masalah-masalah teknikal dalam pengemaskinian Portal Rasmi mereka. Pejabat-pejabat berkenaan telah dan sedang mengambil tindakan mengatasi masalah-masalah teknikal berkenaan,” kata kenyataan itu.

"Kementerian ini ingin menjelaskan bahawa pautan ke maklumat terperinci mengenai Permohonan Undi Pos Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bagi Permohonan Undi Pos Kategori 1B (Luar Negara) - Online, seperti yang tertera di Laman Web Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu https://www.spr.gov.my/ms/permohonan-undi-pos-pru-dun-ke-15, telah mula dihebahkan di Portal Rasmi Kementerian ini - https://www.kln.gov.my mulai 16 Jun 2023.

"Perkara yang sama turut dimuat naik di semua platform media sosial rasmi utama Kementerian iaitu Facebook, Instagram dan Twitter. Maklumat-maklumat itu telah juga dimuat naik di Portal-portal Rasmi hampir kesemua pejabat Malawakil serta platform media sosial rasmi masing-masing mulai tarikh yang sama.

Global Bersih yang beribu pejabat di Geneva adalah sebahagian daripada gerakan yang membantu rakyat Malaysia di luar negara menghantar undi mereka dalam pilihanraya umum yang lalu. - Bernama