Kad Sejahtera untuk rakyat Terengganu bulan depan

Ahmad Samsuri menyerahkan replika Kad Sejahtera kepada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat.
Ahmad Samsuri menyerahkan replika Kad Sejahtera kepada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM10.9 juta bagi program bantuan subsidi rawatan kesihatan asas atau Kad Sejahtera kepada rakyat negeri ini yang akan bermula bulan depan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan program itu adalah tanda komitmen kerajaan pimpinan Pas seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 yang lalu.

Menurutnya, seramai 20,000 penerima daripada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dijangka akan mendapat manfaat daripada program berkenaan.

“Program ini bersifat penyelesaian jangka masa pendek supaya dapat memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin. Ia sekali gus dapat memperkasa golongan sasar secara berperingkat, seterusnya mampu membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Program ini akan bermula selewat-lewatnya pada bulan depan dan para pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah maksimum sehingga RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik oleh kerajaan,” katanya selepas penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini semalam.

Dr Ahmad Samsuri berkata, individu yang layak akan menerima Kad Sejahtera melalui pejabat DUN masing-masing dan perlu dikemukakan sewaktu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan kos maksimum RM70 setiap rawatan.

Sementara itu, menurutnya, jambatan angkat atau Drawbridge akan dibuka kepada orang ramai bermula 1 Ogos ini.

"Kerajaan menambah baik beberapa kelemahan dalam aspek keselamatan dan kelancaran trafik setelah dibuka untuk tempoh pengujian sistem selama dua minggu pada 2 hingga 17 Jun lalu. Setakat ini tiada masalah dan semuanya berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

“Bermula 1 Ogos, ia sudah boleh dibuka kepada semua kenderaan dan kita boleh menyaksikan trafik yang lebih baik selepas itu. Berkenaan nama dan pelancaran rasmi pula kita masih belum putuskan,” katanya.