RM42 juta wang masuk akaun Najib bukan milik YR1M - Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam dua akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 2014 dan 2015, bukan milik Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif YR1M, Ung Su Ling, 50, yang kini tidak bekerja berkata, beliau hanya dimaklumkan oleh Allahyarham Datuk Azlin Alias iaitu bekas Setiausaha Sulit kepada Najib untuk mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman supaya memindahkan wang berkenaan ke dalam dua akaun di AmIslamic Bank Berhad.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, beliau diberitahu kesemua wang tersebut adalah untuk menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Merujuk kepada keseluruhan wang berjumlah RM27 juta, RM5 juta serta RM 10 juta di mana jumlah keseluruhan RM42 juta, saya sahkan kesemua jumlah wang tersebut bukan milik YR1M,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada perbicaraan hari ke-38 kes Najib membabitkan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib terkejut, sedih bila tahu duit masuk akaun peribadi: Saksi

Su Ling berkata, arahan memindahkan wang berjumlah RM42 juta ke dalam akaun bank IPSB itu diterima daripada Azlin yang memaklumkan kepadanya mengenai perkara tersebut dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya bagi membincangkan hal ehwal YR1M pada September 2014.

“Ketika di sana, Datuk Azlin memaklumkan saya bahawa sejumlah wang akan dipindahkan ke dalam akaun bank milik IPSB, namun jumlah dan tarikhnya tidak dimaklumkan. Saya hanya dimaklumkan wang tersebut adalah untuk CSR.

“Datuk Azlin kemudian meminta bantuan saya untuk memberitahu Datuk Shamsul Anwar ke mana wang tersebut perlu dipindahkan. Saya bersetuju untuk membantu Datuk Azlin apabila masanya tiba untuk berbuat demikian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu berkata, pada Disember 2014, beliau diarahkan oleh Azlin melalui pesanan WhatsApp untuk memberitahu Dr Shamsul Anwar supaya memindahkan RM27 juta dan RM5 juta secara berasingan kepada dua akaun di Ambank.

Beliau berkata, nombor dan nama akaun turut dimaklumkan kepadanya namun beliau tidak menyimpan pesanan tersebut kerana telah memadamkan nombor Azlin selepas kematian Allahyarham.

Su Ling berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Azlin, beliau telah menghantar emel kepada Dr Shamsul mengenai maklumat pindahan wang melibatkan dua transaksi iaitu RM27 juta dipindahkan daripada akaun IPSB ke dalam akaun nombor 211-202-201188-0 atas nama AmPrivate Banking -1MY dan RM5 juta ke dalam akaun nombor 211-202-201190-6 atas nama AmPrivate Banking - MY.

Katanya, pada awal Februari 2015, beliau telah dihubungi lagi oleh Azlin melalui WhatsApp dan dimaklumkan bahawa sejumlah wang lain telah dipindahkan ke dalam akaun IPSB dan beliau diarah untuk memaklumkan kepada Shamsul Anwar agar memindahkan RM10 juta kepada akaun di Ambank.

“Saya kemudian memaklumkan Datuk Shamsul Anwar melalui pesanan WhatsApp juga, untuk menghantar ke akaun AmIslamic Bank Berhad nombor 211-202-201188-0 atas nama “AmPrivate Banking-1MY” sejumlah RM10 juta,” katanya.

Su Ling berkata, pada 9 Februari 2015, jam 5.23 petang, beliau telah menerima satu emel daripada bekas Eksekutif Akaun Kanan IPSB, Aishah Ghazali yang memaklumkan borang pemindahan wang telah disediakan dan beliau kemudian memanjangkan emel sama kepada bekas Pengurus Perhubungan Ambank Joanna Yu.

Saksi-saksi dalam perbicaraan kes itu sebelum ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa terdapat tiga transaksi wang masuk berjumlah RM42 juta ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad milik Najib daripada IPSB.

Saksi memberitahu wang tersebut dipindahkan ke dalam akaun milik bekas perdana menteri itu bertujuan untuk menjalankan program CSR, manakala saksi pendakwaan ke-21, Pengurus AmBank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi mengesahkan kedua-dua akaun AmPrivate Banking-1MY itu adalah milik Najib.

Terdahulu, Su Ling memberitahu, YR1M mempunyai empat orang pemegang amanah yang diketuai oleh Najib dan dianggotai oleh tiga lagi iaitu Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Wan Shihab Wan Ismail yang merupakan bekas pegawai khas di pejabat perdana menteri dan Azlin.

Namun selepas kematian Azlin, YR1M hanya mempunyai tiga orang pemegang amanah sahaja.

Su Ling berkata berkenaan urusan pentadbiran dan dasar YR1M, beliau akan berhubung dengan Azlin terutama bagi perbincangan kertas lembaga yang memerlukan kelulusan pemegang amanah termasuk mendapatkan kelulusan serta tandatangan perdana menteri.

Katanya Azlin juga menyampaikan arahan dan cadangan daripada perdana menteri untuk tindakan pihaknya.

Beliau berkata YR1M ditubuhkan pada Januari 2013 antaranya bertujuan meningkatkan kualiti hidup golongan kurang berada dan bernasib baik serta meningkatkan taraf pendidikan pelajar luar bandar dan bagi melaksanakan program yang dirancang YR1M akan menjalinkan usahasama dengan beberapa rakan kongsi antaranya IPSB yang membantu dalam aktiviti CSR.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama