Melaka terima peruntukan tambahan RM3 juta bina Rumah Peduli

Adly pada Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri Ayer Keroh semalam.
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka menerima peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi membina lebih banyak Rumah Peduli.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, jumlah itu sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan yang diterima sebanyak RM6 juta.

Menurut Adly, pihaknya akan meminta pejabat daerah serta Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) mengenal pasti penerima yang benar-benar layak untuk dibantu.

"Sebelum ini kerajaan negeri memang ada buat permohonan bagi tempoh lima tahun untuk mendapatkan bajet tambahan daripada kerajaan Persekutuan dan baru-baru ini Kementerian Kewangan telah mengumumkan kita dapat kelulusan RM3 juta lagi.

"Setakat ini sebuah Rumah Peduli telah siap dan empat permohonan lagi telah mendapat kelulusan termasuk di Bemban Jasin dan Melaka Tengah," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, peruntukan tambahan itu berikutan kejayaan program Rumah Peduli yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Lipat Kajang, Jasin dekat sini pada 10 Jun lepas.

Kok Kiew
Kok Kiew

"Peruntukan berkenaan diluluskan kerajaan Persekutuan selepas seminggu atau dua minggu perasmian rumah tersebut kerana Tun Dr Mahathir berpuas hati dan memuji inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membina rumah bagi golongan kurang berkemampuan.

"Ia merupakan berita baik untuk Melaka dan pada masa sama kita dihubungi banyak pihak dari pelbagai negeri yang berminat untuk membina rumah sama di negeri mereka," katanya kepada pemberita di luar persidangan semalam.

Mengulas lanjut, Kok Kiew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir berkata, kerajaan negeri menyasarkan 84 unit Rumah Peduli akan dibina di Melaka tahun ini dengan jumlah 500 unit dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.

Beliau berkata, pemohon yang layak terdiri daripada ketua isi rumah miskin tegar dan miskin yang ditentukan berdasarkan pendapatan garis kemiskinan semasa, disahkan sebagai miskin tegar dan miskin serta berdaftar dengan e-Kasih, merupakan penerima bantuan zakat dan tidak mempunyai rumah atau rumah yang dimiliki daif dan tidak selamat diduduki selain memiliki tanah tetapi tiada kemampuan membina rumah sendiri.

Katanya, pemohon yang layak boleh membuat permohonan di Kompleks Japerun masing-masing dan ia akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka untuk kelulusan.