Usahawan pemangkin ekonomi Malaysia

A
A
A

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 ke satu tahap yang amat tinggi dalam mengajak serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat untuk berkecimpung dan bergelar sebagai usahawan.

Berlandaskan kepada lima objektif utama, DKN 2030 menjadi pemangkin kepada ekosistem keusahawanan yang bersifat holistik dan kondusif.

Di samping itu juga, dasar ini bermatlamatkan membentuk masyarakat berpemikiran dan berbudaya keusahawanan, meningkatkan bilangan usahawan berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif.

Malah, dasar ini juga berorientasikan kepada usaha mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan dan industri kecil dan sederhana (PKS) dan sekali gus meletakkan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan masyarakat Malaysia pada masa kini dan masa depan.

Usaha ini membuka peluang keusahawanan yang lebih luas kepada kumpulan B40, orang kurang upaya, orang asli/orang asal, wanita dan kumpulan belia.

Bidang keusahawanan ini tidak menidakkan mana-mana golongan umur masyarakat yang mahu menceburi bidang keusahawanan atau perniagaan dan ia melangkaui peringkat sekolah, universiti dan sebagainya.

Dasar ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri dan bukanlah sebuah dasar atau usaha baru yang diketengahkan pada masa kini tetapi diperkukuhkan oleh kerajaan Malaysia.

Aspek keusahawanan ini merupakan sebuah indikator yang amat signifikan dalam Pelaksanaan Pendidikan Keusahawanan di Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menunjukkan komitmen mereka terhadap pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

Komponen keusahawanan ini telah diperkenalkan dalam subjek Kemahiran Hidup Bersepadu di sekolah menengah rendah. Kerajaan bermatlamat menjadikan bidang keusahawanan terutamanya sektor kecil dan sederhana sebagai penyumbang utama peluang pekerjaan baru dalam membantu perkembangan ekonomi negara.

Antara kementerian yang paling awal mengambil inisiatif ini ialah Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pertanian, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan.

Berniaga, perniagaan dan mendapat pulangan memang enak didengar. Ramai yang berlumba-lumba untuk mencuba dalam lapangan perniagaan dan bergelar usahawan berjaya.

Setiap individu yang mahu mencuba perlu melengkapkan diri bukan sahaja dari aspek teori dan praktikal sahaja tetapi perlu sentiasa mengemaskini semua maklumat terkini supaya tidak ketinggalan dari segi teknologi, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pasaran, keperluan pembeli dan sebagainya terutama dalam perkembangan ekonomi negara dan kaedah berniaga.

Ciri-ciri seorang usahawan bukan sahaja mempunyai kemampuan modal tetapi perlu sentiasa kreatif, inovatif, proaktif dan berani mengambil risiko kerana terdapat lambakan usahawan yang berdaftar dan tidak berdaftar yang lebih pantas menerajui bidang keusahawanan ini.

Keupayaan untuk berfikir, merancang dan bertindak untuk jangka panjang bagi menjamin kelangsungan perniagaan adalah ciri-ciri yang perlu diambil kira sebelum mengorak langkah selanjutnya.

Secara ringkasnya, usaha ini telah diperkukuh dalam Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (2016-2020) di bawah RMK11, pembangunan modal insan melalui aktiviti-aktiviti keusahawanan yang telah dikenal pasti sebagai pemboleh ubah penting dalam menyokong peralihan sektor-sektor ekonomi kepada aktiviti berintensif pengetahuan dan inovasi.

Tambahan pula, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) telah menggariskan 10 lonjakan utama dalam usaha mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang baik bagi membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global.

Adakah negara Malaysia sudah boleh berbangga mahupun bersedia meletakkan usahawan Malaysia setanding dengan para usahawan berjaya di peringkat global?

Semestinya jawapannya adalah ya, kerana negara Malaysia tidak perlu membandingkan kebolehan dan keunikan mereka dengan negara luar untuk bergelar usahawan Malaysia berjaya.

Dasar serta usaha oleh kerajaan Malaysia tidak pernah melupakan kaedah untuk menjana ekonomi negara sekali gus mencipta peluang bagi rakyatnya hidup dalam keadaan selesa.

* Profesor Madya Noor Sulastry Yurni Ahmad ialah pensyarah Fakulti Residen Sekolah Perniagaan Siswazah Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur