Perlukah Akta Hasutan?

A
A
A

HUKUMAN yang dikenakan terhadap seorang pendakwah bebas terkenal, Wan Ji Wan Hussin telah kembali membuka mata ramai pihak termasuk pihak kerajaan.

Seolah-olah termakan ludah sendiri, Wan Ji yang merupakan salah seorang penyokong kuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah didakwa dan dihukum di bawah Akta Hasutan 1948 baru-baru ini, sedangkan kerajaan PH sebelum ini begitu nekad mahu memansuhkan akta drakonian ini.

Ramai mempersoalkan sama ada wajar untuk pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa, malah meminta hukuman yang lebih tinggi dikenakan kepada Wan Ji sedangkan pihak kerajaan PH bercita-cita mahu memansuhkan akta ini. Adakah pihak AGC terikat dengan ‘polisi’ kerajaan PH yang langsung tidak digazetkan itu?

Jawapannya, sudah semestinya tidak. Pihak AGC langsung tidak terikat dengan ‘polisi’ kerajaan PH kerana selagi mana tiada pemansuhan yang dibuat di Parlimen, selagi itulah Akta Hasutan ini masih boleh diguna pakai.

Arahan moratorium daripada Kabinet agar pihak AGC tidak mendakwa sesiapa di bawah Akta Hasutan juga langsung tidak dikeluarkan.

Namun, seandainya ada perintah moratorium tersebut, adakah perintah moratorium tersebut terguna pakai ke atas pihak AGC? Dalam erti kata yang lebih umum, adakah sebarang perintah moratorium oleh Kabinet terikat terhadap pihak AGC seperti mana badan-badan kerajaan yang lain?

Tidah sah

Pada dasarnya, arahan atau perintah Kabinet kepada AGC boleh jadi tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Peguam Negara untuk memutuskan perkara berkaitan pendakwaan sesuatu kes.

Artikel Berkaitan:

Saranan Lim Kit Siang agar para Timbalan Pendakwaraya merujuk manifesto PH sebelum sebarang pendakwaan dibuat adalah satu saranan yang tidak masuk akal, dangkal dan bersifat mentah. Sangat sedih dan menggusarkan apabila saranan ini datang daripada seorang politikus veteran.

Sedikit gelintar di laman Google sudah membolehkan kita untuk menjumpai latar belakang atau sejarah di sebalik Akta Hasutan ini.

Jadi, tidak perlulah saya menulis panjang mengenai latar belakang atau sejarah mengenai Akta Hasutan. Cuma, saya ingin menekankan bahawa akta ini digubal lebih kurang 10 tahun sebelum merdeka dek cubaan Inggeris untuk kekalkan kuasa mereka di Malaya ketika itu.

Akta Hasutan versi Malaysia ini kemudiannya dipinda pada tahun 1970 selepas rusuhan Mei 13, di mana Parlimen memperkenalkan Seksyen 3(1)(e) berhubung tindakan menzahirkan perasaan benci dan permusuhan antara kaum, serta Seksyen 3(1)(f) mengenai perkara-perkara berkenaan kewarganegaraan, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa penduduk asal di Tanah Melayu dan Sabah/Sarawak serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Sebenarnya, undang-undang berkenaan dengan hasutan ini mula diperkenalkan pada 1275 di England untuk melindungi pemerintah daripada cubaan untuk dijatuhkan.

Menariknya, United Kingdom sendiri telah memansuhkan akta berkenaan hasutan ini pada tahun 2009 setelah sekian lama Suruhanjaya Undang-undang British mencadangkan pemansuhan undang-undang hasutan ini, iaitu sejak 1977.

Pihak Majlis Peguam sendiri telah menyatakan pendirian mereka pada tahun 2009 bahawa Akta Hasutan adalah sebuah akta yang drakonian dan ketinggalan zaman. Akta ini telah merendah-rendahkan institusi demokrasi di negara ini serta merupakan satu penghinaan kepada prinsip demokrasi.

Persoalan yang lebih utama yang perlu kita fikirkan adalah masih perlukah kita kepada Akta Hasutan? Siapa sebenarnya yang mendapat kelebihan atau manfaat daripada akta ini? Apa yang pasti, Akta Hasutan tidak digubal untuk melindungi rakyat marhaen.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kebebasan untuk semua rakyat di negara ini untuk bersuara dan berekspresi.

Biarpun kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan ini bukanlah sebuah kebebasan yang mutlak, namun pihak kerajaan perlu mula untuk belajar menghormati prinsip kebebasan bersuara ini.

Selagi mana suara yang dilemparkan itu tidak bersifat fitnah dan boleh menggugat keamanan negara, rakyat wajar diberikan ruang untuk menyampaikan rasa hati mereka.

Sudah tentu banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam memansuhkan Akta Hasutan, namun saya amat yakin bahawa negara ini akan kekal stabil walaupun tanpa wujudnya Akta Hasutan.

Setakat kritikan ringan yang dilemparkan oleh rakyat marhaen terhadap kerajaan atau institusi tertentu, ia tidak akan mampu mencalarkan apa-apa nilai atau reputasi institusi tersebut.

Bak kata ibunda saya, "kalau ada satu yang mengutuk, akan ada berpuluh lain yang memuji".* Haeme Hashim ialah peguam di HaemeHashim & Co