Tiada pencemaran air dari kilang sarung tangan getah

Abdul Aziz (tengah) dan Mohd Azhar (dua, kanan) mendengar penjelasan wakil kilang sarung tangan getah di Jalan Changkat Jong ketika sesi lawatan mereka, di sini petang tadi.
A
A

TELUK INTAN - Tiada pencemaran air berlaku di Sungai Bidor di Jalan Changkat Jong, di sini seperti didakwa nelayan darat kawasan berkenaan selepas hasil tangkapan mereka merosot.

Berdasarkan pemeriksaan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari di sebuah kilang sarung tangan getah di kawasan terbabit mendapati ia bukan berpunca daripada kilang tersebut.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan kilang sarung tangan getah yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam melupuskan sisa kimia.

"Daripada apa yang ditaklimatkan oleh pihak pengurusan kilang ini, segalanya berjalan dengan baik dan saya juga dimaklumkan pihak JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa tiada perkara membimbangkan berlaku.

"Walaupun pada masa sama ada rungutan nelayan darat mengenai soal kekurangan ikan, tidak semestinya ia berkait dengan apa yang didakwa oleh pencemaran kilang," katanya kepada pemberita selepas hadir melawat kilang tersebut, di Jalan Changkat Jong, di sini petang tadi.

Bagaimanapun, Abdul Aziz memberi jaminan pihak kerajaan negeri akan sentiasa memantau keadaan semasa bagi memastikan kilang tersebut mematuhi SOP serta bersiap siaga sekiranya berlaku pencemaran.

"Apa yang penting, kerajaan negeri berpuas hati dengan laporan dan dapatan rasmi daripada agensi berkaitan dan kita akan sentiasa bersiap siaga.

"Tahniah juga kepada kilang sarung tangan getah ini yang mengikuti SOP ditetapkan dan mereka sentiasa memastikan teknologi dipakai merupakan teknologi terkini dan terbaik," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang turut hadir memaklumkan masalah tersebut dibangkit oleh nelayan darat tempatan yang mendakwa hasil tangkapan mereka berkurangan dan mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan kilang sarung tangan getah di kawasan itu.

"Saya telah membawa perkara ini pada Sidang DUN yang lalu bagi melihat sejauh mana kebenaran dan isu berkaitan pencemaran air di Sungai Bidor ini mempunyai kaitan dengan kilang yang didirikan di situ.

"Pihak kilang telah memberikan penjelasan yang begitu jelas mengenai SOP bagaimana proses rawatan air dilakukan bagi pembuangan sisa pepejal dan saya amat berpuas hati," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia