16 kementerian capai tahap kecemerlangan audit

Nik Azman
Nik Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 16 daripada 24 kementerian mencapai tahap cemerlang dalam pengauditan pengurusan kewangan (Indeks Akauntabiliti) bagi tahun 2018, menurut Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Nik Azman menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, Siri 1 yang dikeluarkan hari ini berkata lapan lagi kementerian mencapai tahap baik.

“Bagi 17 jabatan yang diaudit pula, prestasi pengurusan kewangan di 15 jabatan telah mencapai tahap Cemerlang dan dua di tahap Baik manakala prestasi pengurusan kewangan di 13 Badan Berkanun Persekutuan (BBP) yang diaudit menunjukkan tiga daripadanya berada pada tahap Cemerlang, empat pada tahap Baik, lima pada tahap Memuaskan dan satu BBP pada tahap Kurang Memuaskan.

”Kesemua Kementerian, Jabatan dan BBP diaudit secara pusingan lima tahun,” menurut laporan berkenaan.

Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan pengauditan mengejut di 57 Pusat Tanggungjawab (PTJ)/Pusat Kos (PK) dan di 51 pejabat BBP melibatkan 15 kementerian dan 27 BBP.

“Hasil daripada pengauditan ini mendapati berlakunya ketidakpatuhan terhadap kawalan terimaan; kawalan barang berharga; pengurusan kenderaan kerajaan; kawalan perbelanjaan dan kawalan umum. Laporan yang berkaitan telah dikemukakan kepada Ketua Jabatan peringkat ibu pejabat dan negeri yang berkenaan untuk tindakan susulan,” kata laporan itu.

Selain daripada menjalankan pengauditan bagi memenuhi kehendak undang-undang, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan penilaian khas terhadap prestasi pengurusan kewangan kementerian/Jabatan/Agensi di bawah kawalan Ketua Jabatan yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).

Bagi tahun 2018, penilaian telah dibuat terhadap pengurusan kewangan di bawah kawalan Ketua Jabatan/Ketua Agensi yang melibatkan 27 Ketua Jabatan/Ketua Agensi, katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan itu, mulai 2 Julai, 2018, tujuh kementerian telah disusun dan dinamakan semula iaitu Kementerian Industri Utama (MPI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penyusunan kementerian turut melibatkan KPM yang digabungkan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); KATS merupakan nama baru bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) yang mengambil alih sebahagian fungsi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), MESTECC pula merupakan nama baharu bagi Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) yang turut mengambil alih sebahagian lagi fungsi KeTTHA dan NRE, katanya.

“Sehubungan itu, tiga kementerian tersebut iaitu KeTTHA, NRE dan MOSTI telah dibubarkan dengan fungsi-fungsinya dipindahkan ke kementerian yang berkenaan. Dua kementerian baharu telah ditubuhkan iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

“Bagi tahun 2018, pengauditan terhadap MEA telah dilaksanakan kerana telah dinaik taraf daripada Jabatan Persekutuan manakala pengauditan terhadap MED tidak dilaksanakan berikutan tempoh operasinya tidak mencukupi 12 bulan,” kata laporan tersebut.

Antara penemuan audit yang perlu diberi perhatian adalah terdapat enam kementerian didapati tidak menjalankan/tiada bukti pemeriksaan mengejut atas kewajipan kewangan atau perakaunan dilaksanakan sepanjang tahun 2018 iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), KPM, Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian perdagangan Antarabangsa dam Industri (MITI).

Selain itu, pemeriksaan dalaman di Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kewangan (MOF) dilaksanakan oleh pegawai yang tidak dilantik, menurut laporan tersebut.

“Dalam pada itu, lima kementerian didapati tidak menjalankan pemeriksaan mengejut mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM), MOA, Kementerian Pengangkutan (MOT), KPM dan KLN manakala, dua kementerian tidak dilaksanakan oleh Ketua Jabatan, iaitu MOF dan KATS.

Selain itu, tiada bukti menunjukkan pemeriksaan mengejut dibuat ke atas Mesin Franking/Terminal Tambah Nilai (Touch N Go)/setem yang dikategorikan sebagai barang berharga di MOT, KPM, KKMM dan MINDEF, kata laporan tersebut. - Bernama