Tiga ditahan pecah rumah

Wan Azharuddin (tengah) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media, di sini hari ini.
Wan Azharuddin (tengah) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media, di sini hari ini.
A
A
A

TAPAH - Seorang lelaki yang aktif dalam kegiatan pecah rumah sekitar Tapah, Ipoh dan Sungai Siput antara tiga individu ditahan pihak polis bagi membantu siasatan kejadian pecah rumah di Taman Bidor Botani di Bidor Selasa lalu.

Lelaki berusia 38 tahun bersama dua lelaki lain masing-masing berusia 23 tahun itu ditahan sekumpulan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sebuah rumah di Taman Bersatu, Bidor pada jam 2.50 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang lelaki berusia 60 tahun berhubung rumahnya dipecah masuk dan beberapa barangan berharga hilang dipercayai dicuri.

"Hasil maklumat dan risikan yang dilakukan, lelaki terbabit bersama dua lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Bersatu Bidor Khamis lalu dan pihak polis merampas beberapa barangan disyaki dicuri dalam kejadian itu.

"Beberapa barang dirampas termasuk sebuah kereta Proton Iriz, beg kain berisi dadah dan peralatan menghisap dadah, sebuah tong gas, tujuh botol arak pelbagai jenama, dua buah komputer riba, jam tangan dan duit syiling," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan dua suspek lain dalam kegiatan jenayah itu.

"Suspek mengaku melakukan jenayah pecah rumah membabitkan satu kes di Tapah, empat kes di Ipoh dan dua kes di Sungai Siput.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki 10 rekod jenayah bersabit kes pecah rumah manakala dua lelaki lain pula memiliki rekod lampau membabitkan kes dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.