Johor laksana pemutihan jeti haram

Mohd Solihan (tiga, kanan) sewaktu melakukan lawatan ke jeti-jeti di daerah Batu Pahat hari ini.
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Johor akan melakukan pemutihan terhadap jeti-jeti yang beroperasi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, jeti-jeti dikenal pasti itu melibatkan jeti perikanan, penumpang dan 'barter trade' sehingga menyebabkan kerajaan negeri dan Pusat tidak mendapat hasil.

"Ada juga jeti-jeti yang dikesan beroperasi di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sepatutnya mereka tidak boleh beroperasi di kawasan tersebut.

"Di daerah Batu Pahat ini, hanya empat jeti yang diluluskan, manakala 23 permohonan ditolak selain 10 lagi masih dalam permohonan.

"Jeti-jeti haram ini tidak sihat kerana boleh menjadi kawasan pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI), kemasukan barang-barang yang tidak sepatutnya dan sering terdedah kepada kemalangan sehingga menyukarkan kerja-kerja menyelamat oleh agensi bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan lawatan ke jeti-jeti di Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir Khairuddin Abdul Rahim; ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng dan Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat, Abu Bakar Mohamed Salleh.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan turut mencadangkan pembinaan jeti berpusat di lokasi-lokasi bersesuaian bagi memudahkan kawalan keselamatan oleh polis dan kastam, selain menarik kemasukan pelabur serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Saya lihat jeti pengangkutan, barter trade dan perikanan ini sangat penting untuk ekonomi negeri dan pembangunan ekonomi setempat, namun jika dilihat sekarang, jeti-jeti yang ada ini tidak begitu tersusun dan ada lagi jeti yang mempunyai bangunan yang tidak sempurna walaupun mereka mempunyai keuntungan yang besar.

"Jadi, kerajaan negeri hendak bersama industri untuk memajukan lagi industri ini dan proses pemutihan ini penting agar kerajaan negeri mempunyai data yang tepat pengusaha-pengusaha jeti berlesen yang beroperasi di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, dari segi kesihatan pula, beliau menyokong pembinaan jeti-jeti berpusat ini kerana Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk melakukan proses pensampelan terhadap barang-barang yang turun di kawasan jeti ini.

"Seperti di daerah ini, pada 2017 terdapat 1,800 konsaimen kelapa yang diimport dari Indonesia turun di jeti-jeti di daerah ini selain beberapa barang makanan lain seperti daging, kelapa putih, gula melaka, siput dan lain-lain lagi.

"Jadi, dengan adanya jeti berpusat ini mungkin akan memudahkan lagi kerja-kerja pensampelan oleh JKNJ termasuk langkah-langkah keselamatan seperti penggunaan jentera yang sesuai dan sebagainya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia