Kedah sedia jadi pelopor pelaksanaan Maqasid Syariah

Dari kanan Mohamad Nordin, Mukhriz dan Dr Ismail berbincang sesuatu selepas Program Bicara Eksekutif Maqasid Syariah Peringkat Kedah di sebuah hotel hari ini.
Dari kanan Mohamad Nordin, Mukhriz dan Dr Ismail berbincang sesuatu selepas Program Bicara Eksekutif Maqasid Syariah Peringkat Kedah di sebuah hotel hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mampu muncul sebagai pelopor kepada pelaksanaan Maqasid Syariah selepas kerajaan negeri menerapkan prinsip tersebut menerusi keadilan sosial, kesejahteraan rakyat, pendidikan dan pembangunan yang seimbang dalam pembentangan Bajet Kedah 2019.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah menjalankan program termasuk beberapa inisiatif baharu untuk memastikan rakyat hidup dengan sejahtera dan kebajikan mereka juga terpelihara.

Menurutnya, Maqasid Syariah bukan hanya memfokuskan kepada orang Islam semata-mata, tetapi untuk seluruh manusia termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan dunia sejagat.

"Mesej dan pendekatan Maqasid Syariah diintegrasikan dengan Sustainable Development Goals (SDGs) dilihat amat sesuai dengan apa yang sedang dilakukan kerajaan negeri untuk menjadikan Kedah sebagai Bandaraya Pelancongan Perubatan dan Hub Kargo Udara.

"Saya fikir ia sudah merangkumi nilai Maqasid Syariah untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta negeri dan rakyat Kedah," katanya pada majlis perasmian Program Bicara Eksekutif Maqasid Syariah Peringkat Kedah di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, Datuk Dr Ismail Salleh.

Mukhriz berkata, apa yang sedang dilaksanakan kerajaan hari ini sangat bersesuaian dengan nilai atau fitrah semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa atau negara malah intipati Maqasid Syariah yang inklusif dan dinamik juga bersesuaian dengan fitrah manusia.

"Saya berharap Pejabat Setiausaha Kerajaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dapat digerakkan dalam satu pasukan sama ada berbentuk sekretariat bersama Jakim atau apa jua mekanisme untuk memastikan Kedah dapat menjadi negeri contoh kepada pelaksanaan Maqasid Syariah di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Kedah dapat bersama-sama melaksanakan agenda Maqasid Syariah ini sebagai maklumat dan pencerahan mengenai hala tuju pentadbiran kerajaan yang baharu pada hari ini untuk menuju kepada sebuah negara rahmah yang berpaksikan nilai Rahmatan Lil ‘Alamin.

"Saya difahamkan bahawa Jakim sedang giat mengadakan siri-siri penjelasan berkaitan Maqasid Syariah di seluruh Malaysia dengan objektif supaya nilai-nilai sejagat ini menjadi akar ajaran Islam dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan dan tugas seharian kita.

"Saya mewakili kerajaan negeri menyambut baik dasar baharu kerajaan dan kami amat komited untuk memberi bekerjasama bagi menjayakan matlamat yang besar ini," katanya.